info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pengusaha Bas Ekspres Kehilangan Pendapatan, Mohon Untuk Beroperasi Semula

96views

KOTA KINABALU, 19 Feb — Persatuan Pemandu dan Pengusaha Bas Ekspres Sabah (SEBOC) merayu agar bas ekspres di negeri ini dibenarkan beroperasi membawa penumpang yang ada kebenaran merentas daerah sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presidennya, Datuk Donald Hanafi, berkata pihaknya akur larangan rentas daerah yang masih dikuatkuasakan, namun berharap dibenarkan beroperasi secara terhad mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan jadual ditetapkan.

“Apa yang kami mohon hanyalah kebenaran beroperasi dengan membawa penumpang yang sudah mendapat kebenaran untuk merentas daerah atas sebab kecemasan atau kebajikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SEBOC juga berharap dapat berbincang dengan kerajaan negeri mengenai usaha membantu pengusaha bas ekspres di negeri ini yang sudah lama hilang sumber pendapatan.

“Kebanyakan pengusaha sudah ibarat telur di hujung tanduk. Kami sudah berusaha sedaya upaya memastikan kelangsungan pendapatan kami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil perhatian masalah kami ini.

“Begitu juga dengan nasib pemandu bas yang dibayar gaji secara ‘trip’ yang kini terpaksa mengikat perut akibat hilang sumber pendapatan. Oleh itu, kami memohon agar kerajaan negeri dapat memberi penjelasan dan membawa kami berbincang untuk mendapatkan jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Pengusaha bas ekspres juga meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjadikan Terminal Bas Bandaraya Utara di Inanam, dekat sini sebagai hab sementara untuk operasi penghantaran barangan.

“Bukankah lebih baik sekiranya DBKK bersikap proaktif dengan menjadikan terminal bas ekspres ini sebagai hab sementara penghantaran barang dalam tempoh PKPB ini dengan menetapkan beberapa SOP ketat,” katanya.

Source Link