info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Peniaga ingkar SOP PKPP beri alasan tidak selesa pakai pelitup muka

32views

IPOH, 1 Nov — Tidak selesa memakai pelitup muka ketika menyediakan makanan dan minuman adalah antara alasan yang diberikan peniaga semasa operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi) Supt Lee Swee Sake berkata operasi selama kira-kira 40 minit yang dijalankan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh itu turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.

“Mereka (peniaga) memberikan alasan tidak berasa selesa atau tidak biasa memakai pelitup muka semasa penyediaan makanan dan minuman.

“Kita berharap peniaga dapat menghayati kehidupan norma baharu pada masa kini dan diterapkan dalam kehidupan seharian,” katanya kepada pemberita selepas operasi SOP PKPP itu di sini.

Sebanyak tiga kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan pelitup muka dalam operasi yang turut disertai Pegawai Daerah Kinta Meor Hezbullah Meor Abdul Malik di taman rekreasi yang juga dikenali sebagai Padang Polo.

Setakat ini, lima kes baharu positif wabak COVID-19 dilaporkan di Perak melibatkan Kluster Bayan dengan empat daripadanya di daerah Kerian manakala satu lagi di daerah Larut, Matang dan Selama, menjadikan keseluruhan kes semasa adalah sebanyak 119.

Source link