info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Peniaga Makanan Manfaat Platfrom Digital Ketika Sekatan Pergerakan Penuh

33views

BUTTERWORTH, 2 Jun — Peniaga makanan di Pulau Pinang kini lebih bersedia dalam menghadapi Sekatan Pergerakan Penuh selepas pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan tahun lepas dengan mempertingkat strategi pemasaran produk secara digital.

Pengusaha restoran Lomaq Coffee, Shamsul Munir Safini, 37, berkata kali ini beliau lebih bersedia dan memanfaatkan sepenuhnya khidmat pihak ketiga dalam penghantaran makanan menerusi aplikasi iOS dan Google Apps Store dengan bayaran yang lebih murah.

Tidak menjadikan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara yang bermula semalam hingga 14 Jun depan sebagai penghalang, Shamsul Munir berkata dirinya kini lebih bersedia daripada segi fizikal dan mental.

“Kami telah beralih kepada platform digital contohnya penggunaan platform aplikasi Yezza dan kami dapat memasarkan makanan menerusi (aplikasi) Whatsapp secara terus kepada pelanggan dan tidak melibatkan orang tengah dan kami yang akan uruskan (penghantaran). Jadi, dari segi kos agak menjimatkan dan tidak membebankan pelanggan,” katanya kepada Bernama, ketika ditemui di restorannya, di Perai sini.

Baginya, pemasaran digital sememangnya mampu membantu perniagaannya untuk menjana pendapatan lebih meskipun aktiviti makan di restoran tidak dibenarkan sepanjang PKP.

“Melalui strategi pemasaran digital secara proaktif (selepas PKP 1.0) ini juga, hasil yang kami dapati mampu meningkatkan pendapatan sehingga 40 peratus, tidak seperti ketika PKP 1.0, kerana kami tidak bersedia dan berdepan masalah menghantar makanan…agak bergelut juga masa itu,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Katanya, antara cabaran lain yang perlu ditangani ialah untuk meminimumkan kos pembungkusan makanan yang dilihat telah meningkat sehingga 50 peratus.

Sementara itu, seorang penjaja laksa dan mi sanggul di Kepala Batas, Noor Aimi Husin, 32, berpendapat larangan sekatan pergerakan penuh ini tidak lagi memberi kegusaran kepadanya seperti mana yang berlaku tahun lepas kerana diri kini lebih bersedia, berdasarkan pengalaman berniaga dalam situasi PKP.

“Sekarang saya rasa lebih baik berniaga secara dalam talian…sekarang pun ramai peniaga yang guna kaedah ini sebab lebih senang, selamat, mudah dan cepat.

“Teknologi sekarang pun banyak memudahkan proses jual beli antara pelanggan dan peniaga. Proses penyediaan dan penghantaran makanan dilakukan kini lebih sistematik dan lancar berbanding PKP sebelumnya,” katanya.

Katanya, apa yang diharapkan ialah agar kerajaan sentiasa proaktif dalam menyalurkan pelbagai bantuan berbentuk insentif kepada peniaga mahupun penjaja kecil sepertinya bagi meringankan bebanan kewangan sepanjang pandemik COVID-19, yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

— BERNAMA

Source link