Berita

Penjara Reman P.Pinang Terima 100 Katil

134views

GEORGE TOWN, 13 Okt  — Penjara Reman Pulau Pinang menerima 100 buah katil daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk digunakan banduan yang dijangkiti COVID-19 di dalam penjara itu.

Pengarahnya Mohamed Jusoh Ismail berkata semua katil itu diterima semalam dan ditempatkan di pusat rawatan berisiko rendah di dua blok bangunan di kawasan penjara, yang sebelum ini tidak digunakan.

“Semua 159 banduan yang positif berusia antara 25 hingga 65 tahun itu kini ditempatkan di dua blok tersebut serta jauh daripada blok sel yang menempatkan banduan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini semua banduan yang dijangkiti COVID-19 berada dalam keadaan stabil dan jika ada antara mereka yang didapati positif pada tahap tiga, mereka akan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Selain itu, Mohamed Jusoh berkata, pihaknya telah bersiap sedia dari semua aspek termasuk peralatan, apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Khamis ini.

“Kakitangan penjara memang mencukupi dan kami juga turut menerima bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam bagi membantu membuat pemantauan di kawasan luar penjara,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan PKPD akan dilaksanakan ke atas penjara reman dan kuarters kediaman di daerah Timur Laut, Pulau Pinang berkuat kuasa 15 Okt ini.

Beliau berkata, ia membabitkan 2,306 banduan, 304 petugas dan keluarga di kuarters kediaman serta 220 petugas dan keluarga yang tidak menetap di kuarters.

Sejak 5 Okt lalu, Kluster Penjara Reman Pulau Pinang merekodkan 160 kes positif yang hanya melibatkan banduan termasuk seorang telah meninggal dunia.

Source link