Home Berita Penternak Ayam Terbeban Dengan Peraturan Renyah

Penternak Ayam Terbeban Dengan Peraturan Renyah

42
0

Kuala Lumpur, 6 Jun – Kesukaran mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) bagi mendirikan ladang ternakan ayam sistem tertutup dan kenaikan kos makanan ternakan dikenal pasti antara cabaran utama dihadapi penternak ayam ketika ini.

Kos menjalankan perniagaan dalam industri ini meningkat dipengaruhi harga makanan untuk ternakan kerana penternak terpaksa mengimport makanan ternakan.

Bermakna, penternak harus beralih kepada perladangan moden melalui operasi ladang ternakan ayam sistem tertutup yang terbukti boleh meningkatkan produktiviti pengeluaran produk ternakan.

Sehingga kini, 75 peratus ladang ternakan ayam masih diuruskan secara sistem terbuka, membawa kepada produktiviti pengeluaran rendah.

Namun penternak berdepan dilema jika hendak beralih kepada sistem ladang ternakan ayam sistem tertutup, mereka perlu mematuhi syarat kelulusan KM yang prosesnya mengambil masa selama dua hingga empat tahun untuk diluluskan.

Ia juga membabitkan kos sebanyak RM90,000 hingga ke RM150,000 untuk setiap permohonan bagi mendirikan sistem ternakan tertutup.

Realiti industri penternakan di Malaysia pula, ia banyak dijalankan syarikat kecil dan sederhana yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menampung kos sebanyak itu.

Antara cabaran dihadapi penternak kecil mendapatkan kelulusan KM ialah penukaran status tanah dan perbezaan tafsiran peraturan pengawal selia, selain membabitkan banyak agensi dan keperluan terlalu kompleks untuk dipenuhi penggiat industri.

Sehubungan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Nexus Produktiviti Agro-Makanan (AFPN) dengan kerjasama penggiat industri penternakan ayam sedang memudah cara beberapa sesi libat urus dan rundingan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan isu industri penternakan ayam ditangani dengan cekap dan berkesan.

Perlu disedari, industri penternakan negara mempunyai potensi besar untuk berkembang sama ada untuk kegunaan domestik atau eksport berdasarkan permintaan.

AFPN kini giat melaksanakan uji kaji peraturan di Manjung, Perak dalam mempercepatkan proses kelulusan pertanian moden dengan mengguna pakai kaedah peraturan tangkas.

Tujuan uji kaji peraturan ini adalah untuk membuat semakan semula terhadap proses dan prosedur kelulusan KM serta pelaksanaan peraturan berkaitan.

Seterusnya cadangan intervensi akan dikemuka dan dilaksanakan untuk melihat keberhasilannya. Projek perintis ini dipantau Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan MPC.

Kajian dan maklum balas berdasarkan maklumat awal menjangkakan kejayaan uji kaji peraturan ini mampu memberi kesan positif terhadap industri penternakan ayam, yang mana produktiviti boleh ditingkatkan dengan kadar 20 peratus.

Ia juga dilihat mampu mengurangkan kos operasi sebanyak 15 peratus. Dalam jangka masa panjang, kesan limpahannya akan menyumbang peningkatan tahap sara diri pengeluaran produk unggas negara kepada 140 peratus menjelang tahun 2030.

Pelaksanaan intervensi secara meluas dijangka menstabilkan harga produk ayam dan memastikan sekuriti makan negara terjamin. Paling utama, ia mengurangkan kos sara hidup rakyat.

MPC melalui AFPN komited memudahcara pelaksanaan peraturan lebih cekap dan tangkas dalam industri penternakan supaya peraturan diwujudkan menyokong penternakan moden, bukan menjadi beban tidak wajar kepada penggiat industri.

Beban peraturan tidak wajar ke atas perniagaan boleh memberi impak negatif kepada produktiviti pengeluaran dan daya saing pemain industri dalam pasaran tempatan atau antarabangsa.

Sumber

Facebook Comments Box
Previous articleWanita Hamil Ditembak : Polis Syak Bermotif Cemburu
Next articleAgong, Raja Permaisuri berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran
Sistem Automasi Berita