info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Penternak Lembu Bunuh Penjual Daging

20views

MUAR, 17 Dis — Seorang penternak lembu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun, selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Muar di sini, hari ini atas tuduhan membunuh penjual daging di FELDA Chemplak, Labis tiga tahun lalu.

Shahril Tamsir, 48 membuat pengakuan itu bagi pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Wira Halijah Abbas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu ke atas Ahmad Radzi Jamaludin, 40, di alamat No. 3, Jalan Ubi, FELDA Chemplak, Labis kira-kira 7.30 pagi pada 31 Ogos 2017.

Mengikut kertas pertuduhan asal, Shahril dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas pihak pendakwaan memanggil 20 orang saksi dan menutup kesnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 31 Ogos 2017.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Abd Kadir.

Pada kejadian tiga tahun lalu, mangsa dipercayai baru memulakan perniagaannya apabila ditetak daripada belakang oleh tertuduh menggunakan sebilah parang panjang berukuran 95 sentimeter.

Mangsa parah di tangan kiri selain leher. Tertuduh dipercayai jiran kepada mangsa ditahan polis tiga jam kemudian, di kediamannya.

Penduduk kampung dan pekerja mangsa kemudian membawa mangsa ke klinik kesihatan, sebelum disahkan meninggalkan dunia.

Source Link