info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
BeritaSukan

Penyingkiran PSM kekal

56views

KUALA LUMPUR, 7 Jun  — Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) kekal dengan keputusan mereka untuk menyingkirkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) daripada menjadi ahli gabungan badan induk tersebut.

Presiden ASTAF Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu juga akan disampaikan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil tindakan bersesuaian mengikut perundangan Malaysia.

“Mengikut situasi semasa dan tempoh untuk merayu yang telah tamat, maka keputusan untuk menyingkirkan PSM daripada ASTAF, kekal,” katanya.

Abdul Halim turut menyatakan yang PSM bukan sahaja memohon untuk penambahan tempoh merayu, namun juga telah membuat permohonan yang tidak sesuai, apabila ASTAF menerima surat daripada mereka pada Selasa.

Beliau berkata ASTAF sebelum ini telah menghantarkan surat menerusi email kepada PSM pada 20 Mei, bagi menyampaikan keputusan ASTAF dan juga prosedur membuat rayuan.

“Mengikut perlembagaan ASTAF, PSM mempunyai 14 hari untuk merayu atas pertuduhan dan hukuman yang disabitkan.

“Permintaan ini, telah tidak dilayan, kerana ia tidak mengikut dengan perlembagaan ASTAF. Perlembagaan tidak boleh diubah dan hanya boleh diubah di Kongress ASTAF,” katanya.

Abdul Halim berkata, keputusan itu yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Eksekutif ASTAF, telah dibuat selepas Jawatankuasa Displin (DC) mendapati PSM bersalah seperti didakwa, selepas mereka bersidang pada pada 20 Mei.

Ini membawa kepada penyingkiran PSM daripada menjadi ahli ASTAF serta merta, berikutan tindakan Datuk Seri Ahmad Ismail selaku timbalan presiden ASTAF yang menghantar surat yang memalukan persekutuan itu kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Feb.

PSM juga didapati bersalah dalam melanggar perjanjian diberikan kepada Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF pada 14 Mac 2008, ‘untuk menyokong ISTAF dan ASTAF dalam mewujudkan dan mengekalkan pentadbiran persekutuan itu yang cekap’.

Ahmad Ismail yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’, yang meletakan jawatannya sebagai Presiden PSM Jumaat lepas, telah digantung daripada sebarang aktiviti sepak takraw selama 17 tahun bermula 6 Mei, oleh Jawatankuasa Displin ASTAF pada 5 Mei.

— BERNAMA

Source link