info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Perak Sediakan 400 Hektar Tanah Untuk Dimajukan Oleh Siswazah

109views

KUALA KANGSAR,  7 Mac — Kerajaan negeri Perak mempelawa para siswazah untuk menyertai bidang pertanian yang berpotensi dibangunkan di negeri ini,

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan kawasan seluas 400 hektar di Senggang, Kuala Kangsar untuk dimajukan sejak tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata setiap siswazah akan diberikan tanah seluas dua hingga lima hektar untuk pembangunan tanaman masing-masing mengikut kemahiran dan pengetahuan.

“Oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beberapa projek tanaman yang sepatutnya dimulakan tahun lepas tidak dapat dijalankan. Namun, sebuah koperasi akan melaksanakan tanaman 100,000 pokok kopi jenis Robusta pada Ogos tahun ini membabitkan beberapa siswazah,” katanya dekat sini hari ini.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan program Terjah Usahawan Luar Bandar di Kampung Jawang, Zainol Fadzi berkata pihaknya yakin projek tanaman kopi Robusta itu mempunyai pasaran yang meluas selain mendapat permintaan yang tinggi, sedangkan bekalan masih tidak mencukupi, dan beliau yakin projek pertanian ttu dapat memberikan pulangan, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada siswazah.

“Saya lihat banyak anak muda di sini mengusahakan pelbagai tanaman seperti cili, petola, timun, ternakan ikan dan jambu bagi memenuhi permintaan tempatan,” katanya sambil menambah, mana-mana siswazah yang berminat dalam pertanian boleh mengemukakan permohonanan terus kepada PPPNP.

Source link