Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPeranan wartawan corak persepsi masyarakat

Peranan wartawan corak persepsi masyarakat

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Wartawan berperanan penting dalam penyebaran maklumat kerana ia mencorak persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara, kata Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata pelaporan terhadap sesuatu perkara itu harus tepat kerana masyarakat menilai corak berita berdasarkan kebolehpercayaan, analisis serta kemampuan wartawan untuk menyampaikan berita dengan jelas.

“Peranan wartawan itu penting kerana mencorakkan keadaan semasa…kalau laporan negatif maka akan jadi negatif atau huru-hara,” katanya ketika menjadi tetamu dalam Bicara Naratif bertajuk ‘Wartawan: Membawa Kebenaran, Mencorak Pemikiran’ terbitan RTM, malam ini.

Mohammad berkata wartawan menjalankan tugas dengan penuh profesional walaupun berlaku peredaran sosial dan politik.

Sementara itu, mengulas cabaran kewartawanan berdepan kewujudan media sosial, Mohammad berkata cara pemberitaan atau kreativiti persembahan daripada aspek sebaran maklumat amat penting untuk golongan wartawan atau organisasi media terus relevan.

“Ini satu cabaran kepada wartawan…sekarang banyak pilihan media sosial jadi maklumat banyak sebab itu kata negara tanpa sempadan jadi kita tidak boleh halang sesuatu itu kerana platform itu begitu luas.

“…untuk menghalang sesuatu (media sosial) agak sukar, jadi untuk (wartawan) lebih relevan cara pemberitaan, kesahihan, analisis, persembahan dan kreativiti itu amat penting daripada segi penyampaian maklumat,” katanya.

Mengenai keterbukaan wartawan dalam melaporkan berita, beliau berkata Malaysia memberikan kebebasan kepada golongan profesion itu namun perlu mengikut etika yang ditetapkan.

“Seperti pelaporan itu mestilah sahih daripada sumber yang sahih dan bukannya khabar angin. Bukan untuk sensasikan sesuatu dan akhirnya mencetuskan sesuatu yang negatif sehingga mengundang permasalahan,” katanya.

Menyentuh Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 pada Ahad ini, beliau berkata sambutan itu mengiktiraf pengamal media termasuk jurukamera, penerbit, pengarang dan semua pihak yang terlibat dalam penyampaian berita.

HAWANA 2022 yang bakal berlangsung di Melaka, dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular