info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Perbualan Mesra Dan Konstruktif, Kukuhkan Hubungan Malaysia, Indonesia – PM

41views

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatan rasminya ke Indonesia atas undangan khas Presiden Joko Widodo (Jokowi) hari ini amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara itu.

Perdana Menteri berkata, pertemuan bersama Jokowi pada sesi ‘veranda talk’ adalah satu lagi pendekatan baharu arena diplomasi antarabangsa dalam situasi pandemik COVID-19.

“Pada sesi itu, saya membangkit dan mencadangkan langkah ke hadapan dalam beberapa isu seperti pelaburan dan perdagangan, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), diskriminasi minyak sawit dan kerjasama dalam menangani pandemik COVID-19 serta pergolakan politik semasa di Myanmar.

“Alhamdulillah, lawatan rasmi saya ke Indonesia berakhir dengan beberapa persetujuan bersama dicapai yang tentunya akan memacu hala tuju hubungan kerjasama kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, lawatan itu sangat bermakna apabila dua pemimpin utama negara dapat berbual dan berbincang secara bersemuka selama empat jam dalam satu lawatan rasmi, yang tentunya memberi banyak ruang untuk mengorak langkah meningkatkan hubungan sedia ada ke peringkat lebih tinggi atau lebih strategik.

Jelasnya, perbualan antara mereka berdua lebih mesra dan konstruktif berbanding perbincangan secara persidangan video.

“Malah beliau meminta saya sentiasa berhubung dengannya bagi membincangkan apa-apa isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara.

“Bagi Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pemerintah Indonesia, khususnya Bapak Presiden Joko Widodo atas sambutan luar biasa yang diberikan walaupun dalam keadaan pematuhan ketat protokol kesihatan akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau turut berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama Jokowi di Masjid Baiturrahim yang terletak di pekarangan kompleks Istana Merdeka.

“Khutbah yang dibacakan juga menyentuh mengenai kepentingan vaksinasi menurut perspektif Islam, satu perkara yang turut kami sentuh semasa sesi ‘veranda talk’.

“Selepas solat, Bapak Jokowi dan saya berjalan dari masjid ke dewan makan untuk memberi lebih ruang kepada kami terus berbincang mengenai hal-hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua negara dalam suasana lebih santai.

“Semoga silaturahim Malaysia-Indonesia terus kukuh. Terima kasih Bapak Presiden,” katanya.

Source Link