info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
BeritaPolitik

Perbualan WhatsApp Takiyuddin, Zafrul Di Tular Dengan Niat Jahat

52views

KUALA LUMPUR, 15 Dis — Perbualan aplikasi WhatsApp antara Datuk Takiyuddin Hassan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik di luar konteks untuk membina persepsi negatif dan ditularkan dengan niat jahat.

Petikan perbualan Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dengan Zafrul mengenai projek pembangunan di Kedah itu, juga ditularkan untuk mencemarkan nama baik pihak berkaitan.

Setiausaha Politik kepada Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud, memaklumkan Ahli Parlimen Kota Bharu itu sebaliknya dilantik sebagai Penyelaras antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Kedah, berkuat kuasa 1 September lalu.

Beliau berkata, cetakan perbualan itu adalah sebahagian daripada bidang tugas dan tanggungjawab Takiyuddin untuk memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara khususnya dalam hal pembangunan di Kedah.

“Selaras pelantikan berkenaan, menjadi tugas Takiyuddin untuk memperkukuh kedudukan dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Kedah melalui penyampaian maklumat tepat agar selari dengan dasar negara.

“Memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara terhadap isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian, jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas cetakan perbualan Takyuddin dan Zafrul mengenai pembabitan anak syarikat kerajaan Kedah, Bina Darulaman Berhad (BDB) dan cadangan pembabitan rakan usahasama, Taliworks Corporation dalam projek pembangunan di Kedah yang tular di media sosial.

Ia membabitkan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Plubang sejak 2018, dengan lima LRA akan dibina di Kedah dan empat ditender secara terbuka, memandangkan ia adalah geran Persekutuan.

Satu LRA diberi secara rundingan terus kepada BDB kerana dibiayai secara pinjaman kerajaan Kedah kepada Persekutuan.

Wan Rohimi yang juga yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS berkata, Takiyuddin juga berperanan sebagai pemudah cara kepada urusan penyaluran bantuan kebajikan kepada rakyat Kedah daripada Kerajaan Persekutuan.

“Takiyuddin juga adalah Pengerusi bersama dengan Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) berhubung pengurusan bencana dan apa-apa tugas diarahkan Perdana Menteri dari semasa ke semasa, melibatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Kedah,” katanya.

Source Link