BeritaHiburan

Perkampungan Filem Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM) berharap kerajaan dapat memberikan peruntukkan sebanyak RM350 juta kepada industri kreatif pada pembentangan Belanjawan 2022 bagi membina perkampungan filem.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata bajet berkenaan merangkumi pembinaan studio perfileman dengan membina set, peralatan teknikal, pos produksi, akademi dan kawasan perumahan anak seni bagi merealisasikan ekosistem baru.

“Cadangan sudah dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan ia berkaitan perancangan jangka panjang dan hala tuju industri penerbitan televisyen (TV) tempatan selepas mengambil kira kesan ekonomi kepada industri akibat pandemik COVID-19.

“Tujuan perkampungan filem dibina supaya dapat mengikut jejak langkah Korea Selatan dan China dalam merancakkan industri kreatif di Malaysia.

“Ini kerana sistem studio dapat membantu menyelesaikan masalah aktiviti penggambaran tidak terkawal apabila menggunakan premis awam dan kediaman sebagai lokasi drama.

“Studio terkawal dapat memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan kawal selia aktiviti penggambaran drama dapat dipantau secara sistematik pasca COVID-19.”

Jurey berkata, sistem studio akan dapat memperbaiki ekosistem industri penerbitan drama agar dapat berjalan dengan baik dan mampu menghasilkan produk berkualiti untuk pasaran antarabangsa.

“Dengan cara ini, kerajaan dapat mengatasi masalah pekerja industri tidak mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan perlindungan insurans apabila bekerja di bawah studio besar yang akan membayar gaji secara bulanan dan berpendapatan tetap.

“Sistem ini dapat memastikan graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta mendapat peluang pekerjaan, manakala pekerja industri yang sudah berusia dapat bersara dengan mempunyai simpanan.

“Malah, apa yang lebih penting, data industri dapat diperoleh kerajaan bagi perancangan penambahbaikkan industri pada masa depan. PTVM yakin dengan adanya perubahan ini, industri kreatif pada landasan yang betul untuk maju ke hadapan dan bersaing peringkat global,” katanya.

Selain itu, kata Jurey, PVTM berharap kerajaan dapat memberikan dana tambahan kepada stesen TV kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan TV Alhijrah supaya dapat membeli lebih banyak kandungan serta terus menyalurkan peruntukkan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button