info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Perkeso Perkenal Program TV ‘Luar Biasa’ Papar Kisah Benar Peserta RTW

108views

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan tampil dengan program realiti televisyen baharu dikenali sebagai ‘Luar Biasa’ yang memaparkan kisah serta pengalaman peserta ‘Return To Work (RTW)’ bermula Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata program 13 episod itu akan ditayangkan pada setiap hari Jumaat jam 9 malam di saluran 105 Astro Prima dan merupakan rancangan keempat terbitan agensi berkenaan yang berkisarkan kejayaan RTW.

Beliau berkata pada 2016, Perkeso menerbitkan program ‘Dahsyatnya Perkeso’, diikuti ‘Inpirasi Harapan’ setahun kemudian dan ‘Bangkit #PerkesoPrihatin’ pada 2018.

“Dalam kita berjuang memerangi pandemik COVID-19, Perkeso sekali lagi mengulangi kejayaan untuk menerbitkan program televisyen yang mengisahkan perjalanan peserta RTW mengharungi liku-liku kehidupan setelah mengalami musibah, kemalangan atau penyakit.

“Program ini juga mengisahkan tentang orang yang diinsuranskan oleh Perkeso bangkit daripada bencana dan kesengsaraan dan kini mampu berdikari, malah menyumbang tenaga serta bakti kepada masyarakat,” katanya ketika melancarkan program Luar Biasa secara maya hari ini.

RTW yang diperkenalkan oleh Perkeso pada 2007 merupakan program pengurusan hilang upaya bagi membantu memulihkan pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat dengan melalui beberapa proses pemulihan fizikal atau latihan.

Menjelas lanjut mengenai program RTW Perkeso, Mohammed Azman berkata sejak diperkenalkan sehingga 14 Mei lalu, seramai 36,159 peserta berjaya dibantu untuk kembali ke dunia pekerjaan hasil daripada kerjasama dengan semua pemegang taruh.

“Maka, dalam usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan program RTW ini, usaha penerbitan program Luar Biasa merupakan langkah terbaik bagi mempromosi serta memberi pemahaman terhadap aktiviti Perkeso,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Celebrate TV Sdn Bhd Fariz Hamdi Mohd Noor berkata selain memaparkan kisah pencarum, program Luar Biasa juga mengangkat tenaga kerja Perkeso yang sentiasa berusaha untuk membantu peserta ketika berdepan pelbagai ujian.

Katanya program yang dihoskan oleh pelakon Norman Hakim dan penyanyi Shiha Zikir itu juga boleh disaksikan di saluran YouTube dan Facebook Perkeso tiga hari selepas ia disiarkan di saluran 105 Astro Prima.

— BERNAMA

Source link