Berita

Perkongsian digital buka jalan hubungan perdagangan UK Asean dimasa depan

119views

KUALA LUMPUR, 13 Nov  — Forum Perniagaan ASEAN-United Kingdom (UK) yang pertama telah mengetengahkan betapa pentingnya memupuk inovasi digital dan perkongsian ekonomi untuk masa depan hubungan UK-ASEAN, khususnya dalam bidang pendidikan serta perdagangan digital.

Setiausaha Negara untuk Perdagangan Antarabangsa UK, Liz Truss berkata UK membuat kemunculan di rantau Indo-Pasifik dan negara itu mahu mempereratkan hubungan ekonomi dan digital UK-ASEAN.

“2020 telah menjadi tahun yang mencabar tetapi juga merupakan tahun perkongsian UK-ASEAN yang lebih banyak. Kami akan kekal sebagai rakan kongsi bagi tempoh jangka panjang untuk ASEAN dan perkongsian ekonomi yang kukuh telah membantu perdagangan dua hala berkembang dengan stabil dalam sepuluh tahun terakhir sehingga mencecah hampir 42 bilion pound Britain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Truss berkata demikan ketika menyampaikan ucaptama pembukaan secara maya untuk panel “Technology and the Future of Work in ASEAN”.

Forum Perniagaan ASEAN-UK dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN yang diadakan waktu yang sama dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 tahun ini.

Pada acara yang dihoskan oleh majlis perniagaan UK-ASEAN dan penasihat perniagaan ASEAN, Menteri Dasar Perdagangan UK Greg Hands berkata perdagangan digital adalah kunci untuk memperkukuhkan lagi kerjasama UK-ASEAN.

“Inovasi digital sebagai pemangkin penting untuk pemulihan ekonomi. ASEAN dan UK harus bekerjasama untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dan ekonomi,” katanya.

Hands berkata terdapat potensi besar bagi ASEAN dan UK untuk bekerjasama dalam merapatkan jurang kemahiran digital serta memaksimumkan teknologi inovatif.

UK melihat teknologi digital sebagai pemacu pertumbuhan dan produktiviti di seluruh ekonomi dan permintaan untuk penyelesaian teknologi dalam pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan kewangan, rantaian bekalan dan logistik serta banyak lagi bidang lain meningkat secara konsisten.

Hands berkata UK mempunyai rekod prestasi untuk mencipta lebih banyak syarikat teknologi ‘unicorn’, oleh itu ia membuka peluang bagi ASEAN dan UK untuk bekerjasama dalam merapatkan jurang kemahiran digital serta memaksimumkan teknologi inovatif.

Syarikat unicorn adalah syarikat baharu yang mempunyai kadar pertumbuhan perniagaan yang tinggi, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan menjadi perhatian pemodal teroka.

Sementara itu, Asia Tenggara telah menyaksikan kemunculan 40 juta pengguna Internet baharu tahun ini, berbanding 100 juta selama empat tahun antara tahun 2015 dan 2019.

Syarikat UK mengembangkan operasi mereka untuk menyokong pertumbuhan ini dengan sekurang-kurangnya 216 syarikat teknologi UK dan enam syarikat unicorn teknologi UK sudah berada di Asia Tenggara serta mempunyai potensi untuk melakukan lebih banyak lagi bersama.

— BERNAMA

Source link