Berita

Perlanjutan Operasi Peniaga Makan Bakal Dipertimbangkan

172views

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Keputusan sama ada operasi peniaga makanan dibenar dilanjutkan sehingga jam 10 malam berbanding 8 malam ketika ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung cadangan terbabit.

“Beberapa hari tular di media sosial dan melalui mesej WhatsApp yang saya terima, ramai merungut dan memohon supaya operasi kedai makan atau restoran dilanjutkan, iaitu dari jam 6 pagi sehingga 10 malam.

“Ramai memberi pandangan bahawa apabila ditutup jam 8 malam, ia menyukarkan mereka mendapatkan makanan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan pelbagai pihak daripada sektor lain akan meminta lanjutan waktu operasi, jika kedai makan mendapat kebenaran berniaga hingga 10 malam.

“Jadi kita minta supaya KKM memberi pandangan kepada MKN mengenai cadangan dan permohonan daripada ramai rakyat di luar sana.

“Insya-Allah, jika diputuskan (dibenarkan atau tidak kedai makan operasi hingga 10 malam), akan diumumkan dengan segera,” katanya.

Source Link