Berita

Perlantikan MB Perak Tertangguh Lantaran Tiada Parti Miliki Majoriti Mudah

67views

IPOH, 8 Dis — Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, belum diyakinkan oleh mana-mana parti sudah memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu di Perak.

Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata sehingga isu terbabit diselesaikan, barulah istiadat angkat sumpah Menteri Besar yang baharu dapat dilaksanakan.

“Sehingga Tuanku diperkenankan, yakin sudah ada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah barulah istiadat angkat sumpah boleh dilaksanakan.

“(Setakat ini) Sultan Perak belum dapat diyakinkan oleh mana-mana pihak. Kita akan tunggu sampai mereka bersedia dengan meyakinkan Duli Yang Maha Mulia dan baginda berpuas hati sudah ada majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Istana Kinta di sini petang ini.

Annuar berkata, petang ini Pakatan Harapan (PH) diwakili tiga pengerusi parti komponen negeri masing-masing, menghadap menyembah maklum kepada Sultan Nazrin berkenaan status perundingan sedang berlaku daripada pihak mereka.

“Selepas (ketiga-tiga pemimpin PH) selesai menghadap, Sultan Perak menitahkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, menghadap yang turut menyembahkan status perundingan yang sedang berlaku di antara pelbagai pihak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Saarani turut memohon untuk mengajak ADUN Pangkor, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, ketika sembah perkenan petang tadi.

Terdahulu, tiga pemimpin PH tiba memasuki perkarangan Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilihat tiba menaiki kenderaan berasingan pada jam 2.55 petang.

Kemudiannya, disusuli Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Asmuni Awi tiba pada jam 3.05 petang.

Source Link