Berita

Perluasan iTEKAD Pastikan Strategi Pemulihan Ekonomi Menyeluruh

167views

KUALA LUMPUR, 8 Nov — Inisiatif kerajaan memperluaskan pelaksanaan program iTEKAD menerusi Belanjawan 2021 akan memastikan strategi pemulihan ekonomi negara yang lebih menyeluruh dalam tempoh krisis pandemik COVID-19, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.

Beliau berkata dengan lebih banyak penglibatan institusi kewangan lain serta kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri dan rakan pelaksana pada tahun hadapan, Bank Islam percaya ia akan turut meningkatkan taraf hidup penerima.

“Kami mengalu-alukan langkah kerajaan mempertingkatkan peruntukan Kemudahan Perusahaan Mikro sebanyak RM110 juta dan memperluaskan pelaksanaan program iTEKAD.

“iTEKAD iaitu satu kemudahan pembiayaan mikro yang memastikan penjanaan pendapatan mampan serta daya tahan kewangan perniagaan yang dimiliki golongan B40 dan asnaf dalam mengharungi kesan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata iTEKAD merupakan antara instrumen Kewangan Sosial Bank Islam dalam memastikan kesejahteraan sosio-ekonomi negara.

Bank Islam telah diberi kepercayaan untuk menerajui program iTEKAD bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta SME Corp, dan program berkenaan telah berkembang dengan baik sejak dilancarkan pada Mei 2020, menurut bank itu.

Menurut Bank Islam, kemudahan pembiayaan mikro ini memberi akses pembiayaan kepada peniaga dan pengusaha kecil, sementara kemudahan Kewangan Sosial Islam seperti zakat atau sedekah dimanfaatkan untuk pembelian peralatan atau kelengkapan perniagaan yang diperlukan oleh penerima yang layak.

“Program ini turut menggabungkan latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan berstruktur bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran peserta,” menurutnya.

Layari laman web Bank Islam di www.bankislam.com atau mengunjungi cawangan Bank Islam berdekatan atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di 03-26 900 900 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Source link