Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPermintaan kukuh untuk suara, internet dan multimedia lonjak untung bersih S1 TM...

Permintaan kukuh untuk suara, internet dan multimedia lonjak untung bersih S1 TM kepada RM339.85 juta

KUALA LUMPUR, 25 Mei  (Bernama) — Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi suku pertama (S1) berakhir 31 Mac, 2022, melonjak 4.4 peratus kepada RM339.85 juta daripada RM325.47 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Permintaan kukuh untuk suara, internet dan multimedia diterjemahkan kepada peningkatan 2.9 peratus, atau RM2.89 bilion dalam hasil operasi, berbanding RM2.81 bilion sebelum ini, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti bagi S1 meningkat 4.4 peratus disebabkan kos kewangan yang lebih rendah daripada penebusan awal sukuk RM2 bilion yang diselesaikan pada S1 2021, serta kerugian yang diterjemahkan kepada pertukaran asing yang lebih rendah ke atas pinjaman.

“Ini dicapai walaupun caj cukai yang lebih tinggi daripada kadar Cukai Makmur,” katanya.

Gergasi telekomunikasi itu berkata perbelanjaan transformasinya seperti pengoptimuman tenaga kerja, ditambah pula dengan impak pertukaran asing ke atas penyelesaian perdagangan menyumbang kepada pendapatan sebelum faedah dan cukai yang lebih rendah sebanyak 5.0 peratus, daripada RM589.7 juta kepada RM560.4 juta.

Ia telah melabur sebanyak 12.5 peratus daripada hasil dalam perbelanjaan modal (CAPEX) berjumlah RM361.2 juta untuk mengembangkan liputan gentian, naik taraf rangkaian teras dan sistem sokongan.

Ia juga telah mencatatkan aliran tunai yang lebih baik daripada operasi pada S1, hasil daripada inisiatif penjimatan kos.

“Aliran tunai bebas, bagaimanapun, lebih rendah sebanyak 15.1 peratus, pada RM658.8 juta, berbanding RM775.7 juta disebabkan oleh CAPEX RM114.2 juta yang lebih tinggi kerana kumpulan terus melabur dalam memenuhi jangkaan pelanggan dan rangkaian,” kata TM.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan yang dikeluarkan selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-37 TM, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Imri Mokhtar berkata 2021 telah mencatat peristiwa penting tahun pertama transformasi.

Beliau berkata kumpulan itu telah menetapkan asas yang kukuh sebagai syarikat awam berhad berorientasikan pertumbuhan yang melabur untuk pulangan optimum jangka panjang kepada para pemegang sahamnya, di samping meneruskan usaha membina negara untuk merealisasikan Digital Malaysia yang sebenar.

“Pada 2022, kami menyasarkan untuk terus mengembangkan hasil operasi kami dengan memperkukuhkan momentum perniagaan teras kami bagi meningkatkan keuntungan, membolehkan kami melabur untuk pertumbuhan masa depan.

“Sambil menambah baik penyelesaian ketersambungan dan pendigitalan untuk Malaysia yang lebih baik, faktor manusia kekal sebagai elemen penting agenda pertumbuhan TM, kerana aspirasi syarikat adalah untuk berkembang ke arah syarikat teknologi berpaksikan manusia,” kata Imri.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular