info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Perniagaan Sokong Benarkan Sektor Ekonomi Kekal Dibuka 

75views

KUALA LUMPUR, 26 Mei — Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berskala penuh mendapat sokongan pihak dewan perniagaan, industri serta persatuan perusahan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden Kebangsaan, Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang berkata pelaksanaan PKP penuh pada masa ini akan menyebabkan 40 peratus PKS terpaksa ditutup dan banyak syarikat multinasional memindahkan operasi pembuatan mereka ke negara lain.

“Dua juta orang dijangka kehilangan pekerjaan dan mata pencarian jika PKP penuh itu dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelaksanaan PKP sepenuhnya akan menyebabkan negara berkemungkinan memerlukan sehingga setengah trilion ringgit bagi membantu rakyat dan merangsang semula ekonomi negara, yang Malaysia tidak mampu buat masa ini.

Memuji Muhyiddin atas keputusannya yang berani, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menjelaskan perdana menteri menyedari bahawa kegiatan ekonomi menjana hasil yang diperlukan kerajaan untuk melindungi nyawa dengan memastikan kemudahan perubatan, vaksin, bantuan kewangan, dan pekerjaan yang berterusan untuk rakyat.

Pertubuhan itu juga menambah, kajian kes menunjukkan PKP penuh bukan satu jalan penyelesaian kerana ia menjejaskan mata pencarian ramai dan hanya mengekang virus daripada menjangkiti pekerja menjalani sekatan di asrama mereka.

Sebenarnya, tempat kerja merupakan yang paling selamat kerana perniagaan boleh mengawal prosedur operasi standard (SOP) selain tidak ada perniagaan yang sengaja melakukan aktiviti bukan SOP yang akan mempertaruhkan kedudukan perniagaan masing-masing, jelasnya.

Susulan 7,289 kes baharu COVID-19 yang dicatatkan Malaysia pada Selasa, Industries Unite pula menjelaskan penting untuk negara ini mengelakkan reaksi ‘tersentak’ yang disebabkan kebimbangan.

“Kerajaan mempunyai data yang diperlukan, dan kami menyokong setiap langkah untuk mengimbangi kehidupan, mata pencarian dan kepentingan nasional.

“Kami menyokong keputusan yang mengutamakan kebajikan orang ramai secara keseluruhannya berdasarkan sains dan data yang tepat,” jelas Industries Unite, gabungan lebih 110 kumpulan perniagaan.

Ia juga menggesa kerajaan supaya mempercepat proses vaksinasi dan melakukan tindakan yang diperlukan untuk mengurangkan kesan PKP ke atas kehidupan rakyat dan perniagaan.

— BERNAMA

Source link