Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPertumbuhan eksport, import Malaysia bagi 2022 diunjurkan pada 16.9 dan 19.2 peratus

Pertumbuhan eksport, import Malaysia bagi 2022 diunjurkan pada 16.9 dan 19.2 peratus

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) — MIDF Research (MIDF) telah mengekalkan unjuran untuk eksport dan import berkembang masing-masing pada 16.9 peratus dan 19.2 peratus berikutan pengumuman angka perdagangan Malaysia pada Mei 2022.

Ia berkata jumlah perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 33.6 peratus tahun ke tahun kepada RM228.4 bilion pada Mei, dipacu oleh peningkatan pantas dalam eksport dan import manakala secara kumulatif, jumlah perdagangan meningkat kepada RM1.09 trilion dalam lima bulan pertama tahun ini, mencecah paras RM1 trilion lebih pantas berbanding tahun lepas berikutan permintaan luar dan harga komoditi yang kukuh.

Eksport berkembang lebih pantas pada 30.5 peratus tahun ke tahun pada Mei 2022 berbanding 20.8 peratus pada bulan sebelumnya. Prestasi berkenaan adalah lebih tinggi daripada jangkaan MIDF disokong oleh peningkatan dalam penghantaran ke negara serantau dan eksport semula yang lebih kukuh, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

“Pengembangan yang stabil dalam penghantaran barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan komoditi, khususnya minyak sawit dan produk petroleum turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport yang lebih kukuh.

“Sementara itu, pertumbuhan import berkembang lebih pantas pada 37.3 peratus tahun ke tahun pada Mei 2022 berbanding 22.1 peratus bulan sebelumnya didorong oleh peningkatan berterusan dalam aktiviti ekonomi domestik dan harga komoditi yang tinggi,” kata MIDF.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata lebihan dagangan bagi Mei 2022 menyusut ke paras terendah sejak Mei 2020, merosot kepada RM12.6 bilion berbanding RM23.5 bilion pada April 2022 disebabkan eksport yang lebih rendah dan import yang lebih tinggi.

Mengikut destinasi, MIDF Research berkata peningkatan eksport ke negara ASEAN, ia meningkat 44.2 peratus tahun ke tahun dan merupakan penyumbang utama kepada eksport yang lebih kukuh pada Mei 2022 berikutan permintaan kukuh untuk E&E dan produk petroleum.

Sebaliknya, eksport ke destinasi utama lain seperti China, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) terus berkembang kukuh pada kadar dua angka walaupun secara relatifnya lebih perlahan daripada April 2022, katanya.

Bagi sektor pula, eksport pembuatan dan pertanian meningkat pada bulan Mei manakala peningkatan dalam eksport perlombongan adalah lebih sederhana berbanding bulan sebelumnya.

Pertumbuhan mampan dalam eksport pembuatan (Mei 2022: 27.3 peratus) disokong oleh penghantaran E&E dan jentera, peralatan dan alat ganti yang lebih kukuh serta pemulihan semula dalam eksport produk petroleum, kata firma penyelidikan itu.

Daripada segi luaran, kesan perang di Ukraine, harga komoditi yang tinggi dan kenaikan inflasi terhadap permintaan global kekal menjadi kebimbangan dan kelembapan di China merupakan satu lagi risiko penurunan berikutan lonjakan baharu dalam jangkitan COVID-19 dan kesan negatif akibat sekatan perjalanan yang ketat.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan permintaan berterusan untuk produk dan komoditi E&E seperti minyak sawit dan petroleum untuk menyokong eksport pada bulan-bulan akan datang.

“Pertumbuhan import akan kekal pada paras yang sama apabila pengguna terus meningkatkan perbelanjaan berikutan pembukaan semula ekonomi. Perbelanjaan perniagaan juga akan meningkat, dijangkakan permintaan bertambah baik dan kesan positif daripada kelonggaran sekatan perjalanan,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular