Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPertumbuhan KDNK Malaysia diunjur kekal pada 6.0 peratus

Pertumbuhan KDNK Malaysia diunjur kekal pada 6.0 peratus

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) — MIDF Amanah Investment Bank Bhd menerusi cabang penyelidikannya, MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 6.0 peratus tahun ini dengan momentum positif berterusan susulan pembukaan semula ekonomi.

Momentum pertumbuhan itu juga dijangka meningkat apabila ekonomi beralih ke fasa endemik dan lanjutan kelonggaran sekatan COVID-19 seterusnya selain pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“Langkah-langkah seperti pemberian Bantuan Keluarga Malaysia dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berserta dengan peningkatan prospek pekerjaan dan pendapatan juga akan terus menyokong aktiviti perbelanjaan domestik.

“Kami juga mengunjurkan permintaan luaran yang terus ketara khususnya bagi (segmen) elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit dan petroleum yang akan turut menyokong prospek pertumbuhan tahun ini,” katanya menerusi tinjauan ekonomi bulanan bagi Mei yang dikeluarkan hari ini.

MIDF berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia terus mengukuh dengan KDNK benar berkembang dengan pantas pada +5.0 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama 2022.

“Kegiatan perbelanjaan domestik berkembang kukuh pada suku terbabit, seiring dengan peningkatan mobiliti selain disokong oleh perkembangan pasaran tenaga kerja yang meningkat. Malah, pengembangan eksport turut memberi sokongan positif terhadap pertumbuhan KDNK bagi suku pertama itu,” katanya.

Biarpun pertumbuhan kukuh itu mengatasi jangkaan, MIDF turut berkongsi kebimbangan mengenai ketidaktentuan luaran seperti kelembapan ekonomi di China, perang Rusia-Ukraine ketika ini serta gangguan rantaian bekalan global yang berterusan.

“Pada masa ini, kami mengekalkan unjuran awal bahawa KDNK akan berkembang lebih pantas pada 6.0 peratus tahun ini berbanding 3.1 peratus pada tahun lepas,” katanya.

Ia turut menyifatkan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.0 peratus daripada 1.75 peratus, sebagai permulaan kepada normalisasi di tengah-tengah pengukuhan ekonomi domestik.

Dalam Kenyataan Dasar Monetarinya, BNM menyatakan bahawa pembukaan semula ekonomi global secara berterusan serta persekitaran pasaran tenaga kerja yang bertambah baik, terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi terbabit.

Bank pusat itu turut membangkitkan mengenai risiko inflasi global susulan lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan serta permintaan yang kukuh.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular