Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPerubahan dasar kerajaan bantu pengukuhan nilai ringgit

Perubahan dasar kerajaan bantu pengukuhan nilai ringgit

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) – Tindakan kerajaan dalam melaksanakan perubahan terhadap dasar-dasar negara sedikit sebanyak membantu kepada pemulihan dan pengukuhan mata wang ringgit, kata penganalisis ekonomi tempatan.

Perubahan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia disifatkan sebagai satu tindakan yang wajar setelah pembukaan semula semua sektor ekonomi yang ditutup sebelum ini disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin, kenaikan OPR adalah satu tindakan pantas, namun ia masih belum mampu mengawal masalah inflasi negara.

“Saya menjangkakan BNM akan menaikkan lagi kadar OPR dalam tahun ini iaitu pada September dan Oktober nanti.

“Kenaikan ini tidak akan terjadi dalam waktu yang terdekat dan trend OPR ini kalau naik ia tidak akan  naik secara mendadak walaupun 0.25 mata asas dan jangkaan ini adalah melalui pembacaan data-data sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jelas beliau kenaikan ini adalah bagi mengawal inflasi dan pada masa yang sama akan mengukuhkan nilai mata wang negara.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata penganalisis asing kekal yakin terhadap prospek pemulihan nilai ringgit yang akan kembali kukuh dalam masa terdekat.

Ia susulan daripada gambaran unjuran pertengahan keseluruhan mereka terhadap nilai ringgit berbanding dolar AS pada suku kedua 2022, suku ketiga 2022, suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 dengan masing-masing pada kadar 4.37, 4.35, 4.28 dan 4.27.

Bagi purata keseluruhan unjuran penganalisis asing bagi ringgit berbanding dolar AS pada suku kedua 2022, suku ketiga 2022, suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 masing-masing pada 4.35, 4.37, 4.29 dan 4.25.

Berdasarkan kepada unjuran tersebut, nilai ringgit pastinya mengambil masa untuk kembali mengukuh dan dengan dasar-dasar sedia ada kerajaan dalam merangsang ekonomi akan memberi impak positif kepada mata wang tempatan itu.

Muhammad Iqmal dalam mengulas isu tersebut berpendapat kenaikan harga minyak mentah turut menyumbang kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit kerana negara masih bergantung dalam import dan ekspot minyak mentah.

“Jika kita tengok harga minyak mentah pada hari ini ialah US$115.88 setong dan kenaikan ini kalau kita ukur untuk tahun 2022 daripada Januari sampai 1 Jun, lebih daripada 55.3 peratus, maksudnya harga naik separuh kali ganda daripada harga semasa.

“Jadi kenaikan ini sedikit sebanyak memberi sokongan kepada nilai mata wang ringgit tadi, sekiranya trend ini berterusan dan harga minyak ini lebih daripada US$100 setong sudah tentu nilai ringgit akan mengukuh sepanjang tempoh ini,” katanya.

Beliau menambah harga komoditi terutamanya minyak sawit yang meningkat kira-kira RM6,300 setan dan telah mencapai tahap tertinggi pada bulan Mac iaitu RM8,000 setan turut mendorong permintaan yang tinggi kepada nilai ringgit.

“Selain itu, perkembangan pelaburan langsung asing (FDI) melalui Jabatan Perangkaan Malaysia yang mencatatkan kenaikan atau berkembang sedikit iaitu sebanyak RM23.3 billion pada bulan Mac kepada RM812.1 billion.

“Dan perkembangan ini menyebabkan pelabur asing masih masuk ke negara walaupun tidak banyak tetapi mampu mengukuhkan sedikit ekonomi domestik kerana ini membabitkan pelaburan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu Profesor Ekonomi Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata pembukaan semula beberapa bandar utama di China selepas sekatan pergerakan akibat COVID-19 baru-baru ini turut memberi impak kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit dalam tempoh terdekat.

“Pembukaan semula bandar raya China yang telah ditutup akan memberi isyarat bahawa pertumbuhan ekonomi China mungkin akan bertambah baik pada suku seterusnya, yang akan membantu menyokong eksport Malaysia ke China dan seterusnya menambah kekuatan ringgit,” katanya.

Beliau juga menjelaskan peningkatan asas-asas yang menyokong ringgit termasuk peningkatan eksport dan inflasi yang agak rendah berbanding Amerika Syarikat yang mana kadar inflasi negara itu kini mencecah melebihi lapan peratus berbanding Malaysia pada tiga peratus.

–BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular