Berita

Petisyen Tamat Darurat : Agong Perkenan Untuk Terima Menghadap

Gambar Ihsan Malaysiapost
100views

KUALA LUMPUR, 22 Apr — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk menerima menghadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya merangkap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad dalam satu kenyataan, hari ini.

Khalid bagaimanapun berkata, tarikh untuk jawatankuasa itu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan petisyen merayu supaya darurat ditamatkan, belum ditetapkan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa, pagi ini saya telah menerima warkah dari Istana Negara yang memaklumkan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bersetuju menerima menghadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat untuk menyerah petisyen untuk merayu agar darurat ditamatkan.

“Walaupun tarikh untuk menghadap belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan terbabit. Kesan buruk darurat semakin ketara hari ke hari,” katanya.

Khalid berkata, warkah dari Istana Negara itu ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Darurat, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas keperihatinan Yang di-Pertuan Agong. Patik semua menjunjung kasih di atas kesediaan Tuanku bertemu kami,” katanya.

Kelmarin, beberapa Ahli Parlimen yang mendakwa mereka mewakili Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta perkenan baginda supaya perisytiharan itu ditamatkan.

Memorandum itu diserahkan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong di Pintu 3, Istana Negara, pada jam 3.20 petang.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja) dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Source Link