Piala AFF: Harimau Malaya dicabar ulangi sejarah 2010

YANGON, 21 Dis (Bernama) — Skuad Harimau Malaya dicabar mempamerkan persembahan terbaik sepanjang kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 seterusnya menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk meraih gelaran kedua kejohanan peringkat tertinggi Asia Tenggara itu.

Cabaran itu dibuat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin kepada semua 23 pemain negara dalam satu pertemuan di hotel penginapan pasukan di sini malam tadi menjelang aksi pembukaan Kumpulan B berdepan pasukan tuan rumah, hari ini.

Pada pertemuan tersebut, Hamidin juga memberikan amanat serta suntikan semangat kepada skuad bimbingan Kim Pan Gon itu yang kebanyakan dibarisi muka baharu.

Semalam, Hamidin turut meninjau sesi latihan rasmi pasukan negara pada sebelah petang di Stadium Thuwunna di sini, yang merupakan venue perlawanan bagi pertembungan antara Myanmar dan Malaysia.

Pasukan negara akan meneruskan aksi menentang Laos di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu ini, Vietnam di Hanoi (27 Dis) dan menerima kunjungan Singapura (3 Jan) di Bukit Jalil bagi memburu dua slot teratas Kumpulan B untuk layak ke separuh akhir.

Sepanjang 13 edisi kejohanan dwitahunan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger, Malaysia muncul juara sekali pada 2010 serta naib juara sebanyak tiga kali – edisi sulung 1996, 2014 dan 2018.

Hanya empat pasukan pernah bergelar juara iaitu Thailand sebanyak enam kali, Singapura (empat), Vietnam (dua) dan Malaysia.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button