Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaPiala Asia: Malaysia ikat India 3-3

Piala Asia: Malaysia ikat India 3-3

JAKARTA, 29 Mei (Bernama) — Jaringan hatrik Muhammad Razie Abd Rahim berjaya membantu Malaysia mengikat juara bertahan India 3-3 pada aksi kedua Pusingan “Super 4” Hoki Piala Asia di Stadium Hoki Gelora Bung Karno di sini, malam ini.

Malaysia memulakan aksi dengan penuh yakin apabila mengasak kubu lawan bagi memburu gol pembukaan.

Selepas 12 minit permainan, “The Speedy Tigers” berjaya berada di hadapan menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie.

Beliau kemudian menggandakan jaringan buat Malaysia, yang menduduki ranking ke-11 dunia, apabila berjaya melengkapkan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-21.

Bersambung pada suku ketiga, juara bertahan India yang melakukan serangan bertali arus berjaya merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-32 daripada Vishnukant Singh.

Skuad kendalian Sardar Singh yang menduduki ranking ketiga dunia, menyamakan kedudukan pada minit ke-53 melalui gol padang S V Sunil.

India kemudian memimpin perlawanan pada minit ke-55 apabila pukulan sudut Nilam Sanjeep Xess berjaya menembusi gawang Malaysia.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Razie seminit kemudian sekali gus melengkapkan hatrik beliau malam ini.

Kedudukan seri 3-3 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam ulasannya mengenai perlawanan malam ini, pengendali skuad negara, A Arul Selvaraj berkata pasukannya mempamerkan karakter terpuji dan terus berusaha untuk mendapatkan gol.

“Namun agak menyedihkan kelemahan bermula di suku ketiga seperti perlawanan semalam. Tapi itulah hoki jika tidak cipta peluang tidak mengapa.

Sebaliknya jika peluang yang dicipta tidak menghasilkan gol moral pasukan akan menurun,” katanya.

Malaysia yang seri 2-2 menentang Korea Selatan semalam perlu menang berdepan Jepun pada 31 Mei untuk mara ke perlawanan akhir.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular