BeritaSukan

Piala Malaysia: JDT rakam kemenangan selesa ke atas Kelantan

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), membuka kempen Piala Malaysia 2021 dengan meyakinkan apabila menumpaskan Kelantan FC 2-0 dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Penyerang import Bergson Da Silva meletakkan JDT di depan pada minit ke-30 menerusi sepakan penalti selepas pemain muda berbakat Arif Aiman Mohd Hanapi dijatuhkan Muhammad Ghaffar Abdul Rahman di dalam kotak penalti.

JDT berpeluang menambah jaringan namun tandukan tonggak pertahanan Shane Thomas Lowry, hasil dari sepakan sudut pemain tengah Muhammad Nazmi Faiz Mansor, terkena tiang gol kanan lawan pada minit ke-37, manakala sepakan voli Bergson dari luar kotak penalti seminit kemudian sekadar menggegar palang gol.

Bersambung babak kedua, juara Liga Super 2021 itu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila pemain sayap Muhammad Safawi Rasid menolak masuk gol kedua pasukannya selepas menyambut umpanan berkualiti Muhammad Danial Amier Norhisham dari tengah padang, pada minit ke-49.

Peluang terbaik Kelantan untuk mendapatkan gol sagu hati pula hadir pada minit ke-86 namun rembatan padu Dzulfahmi Abdul Hadi dari luar kotak penalti ditepis penjaga gol JDT Muhammad Haziq Nadzli dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pula menyaksikan jaringan Darren Lok 10 minit sebelum permainan tamat, menyelamatkan Petaling Jaya (PJ) City FC daripada mengalami kekalahan di tangan Sabah FC apabila kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam satu lagi pertembungan Kumpulan D.

Pasukan pelawat bimbingan bekas jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee terlebih dahulu berada di depan apabila sepakan percuma yang cantik dari jarak 40 meter oleh pemain pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae-su, menerjah jaring tuan rumah pada minit ke-20.

Sementara itu, naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC ternyata unggul di Stadium Darul Aman, Alor Setar selepas melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan United dalam saingan Kumpulan C.

Pemain tengah Mohd Syazwan Zainon muncul wira juara lima kali Piala Malaysia itu apabila meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-14 dan minit ke-58, manakala pemain import, Tchetche Kipre turut mencetak nama sebagai penjaring pada minit kedua masa kecederaan babak pertama.

Beralih ke Stadium Hang Jebat, perlawanan yang terhenti selama 25 minit pada minit ke-12 akibat hujan lebat dan petir pada separuh masa pertama, tidak menjejaskan rentak Melaka United untuk mengejutkan juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC, 2-0.

Penyerang import, Adriano Aparecido Narcizo meledak jaringan pertama tuan rumah pada minit ke-27 sebelum S. Kumaahran menjaringkan gol kedua pasukannya bagi memastikan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan itu.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button