BeritaSukan

Piala Malaysia: Selangor tewaskan Perak 1-0

KUALA LUMPUR, 26 Sept  – Pasukan paling cemerlang dalam sejarah saingan Piala Malaysia, Selangor FC terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan kedua tercorot Liga Super 2021, Perak FC dalam aksi sulung musim ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Pada aksi Kumpulan B, gol tunggal bagi juara 33 kali itu, dijaringkan oleh penyerang import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun pada minit ke-79, yang melengkapkan sepakan penalti di sebelah kiri palang gol selepas berjaya mengelirukan penjaga gawang Muhammad Azri Ab Ghani yang bergerak ke arah kanan.

Skuad Gergasi Merah dihadiahkan penalti apabila penyerangnya, Sean Selvaraj dijatuhkan oleh pemain pertahanan Perak Mohd Idris Ahmad di dalam kotak penalti.

Satu lagi perlawanan kumpulan sama menyaksikan Terengganu FC mengatasi Kuching City FC 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Skuad Penyu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Lee Tuck pada minit ke-22, selepas penjaga gol pasukan pelawat, Wan Muhammad Azraie Wan Teh menjatuhkan penyerang, Jordan Mintah.

Skuad kendalian Nafuzi Zain kemudian berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-48, apabila Faisal Abdul Halim menyambar umpanan Makan Konate dengan rembatan kaki kiri untuk menewaskan Wan Muhammad Azraei.

Saingan Kumpulan A pula menyaksikan Penang FC kalah mengejut 1-3 kepada naib juara Liga Premier 2021, Sarawak United di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Penyerang import dari Nigeria, Uche Agba muncul wira Sarawak apabila berjaya meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-47 dan ke-58, manakala percubaan Khair Muhamad Jefri Jones turut menepati sasaran pada minit ke-54.

Skuad Harimau Kumbang berjaya memperolehi gol sagu hati menerusi pemain tengah, Mohammad Al Hafiz Harun pada minit ke-56.

Sementara itu, dua jaringan pemain import dari Colombia, Romel Morales membantu Kuala Lumpur (KL) City FC membenam Sri Pahang FC 3-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan A di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Skuad “The City Boys” membuka jaringan menerusi tandukan Daniel Ting pada minit ke-19, sebelum Morales meledak gol pada minit ke-47 dan ke-73.

Kemenangan itu bagaimanapun, sedikit tercalar dengan jaringan sendiri Giancarlo Gallifuoco pada minit ke-79, dalam usaha mematahkan hantaran silang pemain pertahanan Pahang, Muhammad Ashar Al Aafiz.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button