BeritaSukan

Piala Sudirman: Zii Jia Bangga, Tidak Jangka Malaysia Mampu Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sama sekali tidak menyangka pasukan badminton kebangsaan mampu melangkah sehingga ke separuh akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

Selaku kapten pasukan negara pada kejohanan itu, Zii Jia berkata pencapaian skuad negara melepasi sasaran awal diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk ke suku akhir sebelum ini, dengan mara ke separuh akhir merupakan sesuatu yang amat membanggakan.

“Saya sangat gembira terutamanya ketika menang ke atas Indonesia pada suku akhir. Saya rasa tiada siapa yang tewas di sini, semua pemenang,” katanya dalam satu rakaman audio dikongsi kepada media hari ini.

Pemain kelahiran Kedah berusia 23 tahun itu juga kagum dengan semangat juang tinggi dipamerkan pemain perseorangan wanita, S Kisona dan beregu muda wanita, Pearly Tan-M Thinaah sehingga mengheret perlawanan ke set penentuan ketika bertemu lawan masing-masing pada suku akhir menentang Indonesia.

Walaupun Kisona tewas kepada pemain ranking ke-21 dunia Gregoria Mariska Tunjung, 22-20, 18-21, 21-19, manakala Pearl-Thinaah pula ditundukkan kepada juara Sukan Olimpik Tokyo, Greysia Polii-Apriyani Rahayu 22-20, 17-21, 21-18, Zii Jia menyifatkan corak permainanan ditampilkan ketiga-tiga pemain itu amat luar biasa.

Skuad negara menang 3-2 ke atas Indonesia, namun tidak berupaya menyekat kemaraan Jepun yang menundukkan mereka 3-1 untuk mara ke peringkat akhir bertemu juara bertahan, China, hari ini.

Mengulas mengenai kemenangan 22-20, 21-19 ke atas pemain Jepun, Kento Momota di separuh akhir semalam, Zii Jia teruja dapat membalas dendam kekalahan pertamanya di tangan pemain nombor satu dunia itu pada aksi terakhir Kumpulan D, Khamis lepas dengan 18-21, 10-21.

Beliau berkata strategi direncanakan jurulatih, Hendrawan yang mahu beliau lebih banyak menyerang berbanding bertahan ternyata membuahkan hasil sehingga menyaksikannya melakar kemenangan kedua ke atas Momota tahun ini, selepas menewaskannya pada peringkat suku akhir di kejuaraan All England 2021.

Zii Jia menumpaskan Momota 21-16, 21-19, sebelum bergelar juara buat kali pertama pada kejohanan badminton tertua itu di Birmingham, Mac lepas.

Pemain nombor lapan dunia itu juga berharap agar kesemua pemain tidak bersedih di atas kegagalan menewaskan Jepun semalam dan mahu mereka menggunakan pengalaman berguna diraih di Finland untuk mencatat lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berpuas hati dengan kejayaan rakan sepasukan mengulangi pencapaian terbaik pada Piala Sudirman yang pernah dilakar skuad negara di Guangzhou, China pada 2009.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo bersama gandingannya, Soh Wooi Yik itu juga berharap agar pasukan sedia ada dikekalkan dan seterusnya cuba berusaha mencatat kejayaan lebih cemerlang pada masa depan.

Malaysia membuka tirai kempen Piala Sudirman 2021 apabila menang tipis 3-2 ke atas England pada 27 Sept sebelum membelasah Mesir 5-0 sehari kemudian untuk mengesahkan slot ke suku akhir walaupun tewas 1-4 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan D.

Cabaran skuad Malaysia akan diteruskan dengan penampilan di Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 17 Okt ini.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button