info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Pihak Pendakwaan Berjaya Buktikan Kes Prima Facie, Rosmah Diminta Bela Diri

67views

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membela diri, atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah, di pedalaman Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, terhadap isteri bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, sebelum prosiding bermula kira-kira jam 9.45 pagi, Datuk Seri Najib Razak dilihat memasuki kamar mahkamah, bagi menemani isterinya dan mengikuti keputusan kes berkenaan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam Datuk Jagjit Singh serta Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Rosmah.

Pada 11 Disember lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil seramai 23 saksi bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 5 Februari tahun lalu.

Pada 15 November 2018, Rosmah, 69, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas Rizal, bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu.

Source Link