info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Pilihan Raya Mengejut Bakal Pacu KLCI Kepada Paras 1,800 Mata

83views

KUALA LUMPUR, 21 Nov — Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kembali mencecah paras 1,800 — yang kali terakhir dicapai pada 2018 — menjelang penghujung 2021, seandainya pilihan raya mengejut diadakan tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan (DDNK) berkata pelabur amat menjangkakan pilihan raya mengejut diadakan seawal Januari 2021 susulan keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19, selain penarikan balik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak pertengahan Oktober lepas.

“Ramai pelabur yakin vaksin COVID-19 akan tersedia di negara ini pada Mac 2021, malah ada kalangan mereka yang menjangkakan sebaik sahaja situasi pandemik stabil dan PKPB ditarik balik, pilihan raya mengejut boleh berlaku seawal Januari 2021, “ katanya.

Beliau turut yakin pilihan raya mengejut itu akan dapat menyelesaikan perkembangan politik semasa dalam negara justeru, akan menarik lebih banyak aliran masuk dana asing ke dalam pasaran tempatan dan mendorongnya melonjak lebih tinggi tahun depan.

“Pilihan raya mengejut ini merupakan antara pemangkin terbesar bagi kenaikan kukuh di pasaran tahun depan,” katanya.

Barometer pasaran itu mencecah paras 1,800 buat kali terakhir sebelum ini apabila ia meningkat kepada 1,803,71 mata pada 27 Sept, 2018 namun sejak itu ia telah kehilangan kekuatan dengan susut kepada paras terendah dalam tempoh 11 tahun iaitu 1,207.80 mata pada 19 Mac, 2020.

DDNK berkata selain pilihan raya mengejut yang dijangkakan, Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, terbesar dalam sejarah Malaysia, akan dapat mendorong FBM KLCI naik lebih tinggi tahun depan.

“Memandangkan Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada sektor pembinaan, kita yakin sektor itu akan menjadi penerima manfaat terbesar tahun depan berbanding saham teknologi yang menjadi tumpuan pelabur tahun ini,” katanya.

Beliau juga berpandangan keyakinan terhadap penemuan vaksin COVID-19 akan mewujudkan pembelian atau minat pelabur mengikut pusingan sektor dengan pelabur akan menumpukan daripada saham pertumbuhan kepada saham bernilai tahun depan.

Ini khususnya melibatkan saham yang mengalami penyusutan seperti perladangan, penerbangan, hotel, pelancongan, perjudian, perbankan dan amanah pelaburan hartanah (REIT), katanya.

“Sementara itu, kita menjangkakan dolar Amerika Syarikat (AS) mengalami kelemahan tahun depan, yang akan menjadi petanda baik bagi harga komoditi, seperti harga minyak mentah yang kemungkinan didagangkan lebih tinggi iaitu di antara US$55 dengan US$60 setong tahun depan.

“Ini akan melonjakkan Bursa Malaysia memandangkan 30 peratus saham-saham di bursa tempatan itu adalah yang berkaitan komoditi,” katanya.

DDNK berkata jangkaan pasaran mengenai prestasi dolar AS yang lebih lemah akan turut mendorong pengukuhan ringgit yang diunjurkan naik sebanyak 3.0-5.0 peratus berbanding paras semasa 4.09 berbanding dolar AS.

Malah, beliau percaya perkembangan itu akan menggalakkan lebih banyak aliran masuk dana asing ke dalam pasaran tempatan.

“Adalah diharapkan ini akan menjurus kepada langkah menaikkan penarafan negara pada tahun depan yang seterusnya memberi impak terhadap hasil bon, menurunkan kos pembiayaan dan melonjakkan aliran masuk modal ke dalam pasaran,” katanya.

Beliau juga menyifatkan langkah memperkenalkan pakej rangsangan COVID-19 bernilai RM305 bilion berserta kadar inflasi yang sederhana (Indeks Harga Pengguna 1.4 peratus pada September 2020) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) lebih rendah pada 1.75 peratus, mampu menyediakan mudah tunai secukupnya bagi aset berisiko dan mewujudkan lebih banyak pemangkin positif terhadap pasaran saham pada tahun depan.

Mengulas perkembangan di luar negara, beliau berkata kemenangan Joe Biden dalam pemilihan Presiden AS dijangkakan menyuntik impak positif terhadap pasaran ekuiti global, terutamanya China serta pasaran lain di Asia dan sedang pesat membangun.

“Biden lebih dilihat sebagai individu yang kurang konfrontasi dan mesra pasaran. Oleh itu, ramai yang percaya bahawa beliau lebih terbuka kepada perdagangan lebih bebas serta sistem perdagangan global yang liberal di masa depan.

“Ini dijangka dapat meningkatkan hubungan AS-China dan saya yakin Bursa Malaysia juga tidak terkecuali mendapat manfaatnya,” katanya.

Mengulas sasaran FBM KLCI pada akhir 2020, DDNK menjangkakan aspek itu kekal tidak berubah pada 1,650 daripada 1,593.75 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Selain menggalas tugas sebagai CEO Berjaya Interpacific Asset Management, beliau juga merupakan Pengurus Dana Unit Amanah Dana Safi yang berada di kedudukan pertama dari segi pulangan untuk Kategori Unit Amanah Syariah bagi tempoh Januari hingga November 2020 sebagaimana dinyatakan oleh Lippers, Morning Star dan Fund Supermart.

— BERNAMA

Source link