info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

PKP 3.0: Kapasiti Pekerja Industri Agrikomoditi Terhad Kepada 60 Peratus

174views

KUALA LUMPUR, 26 Mei  — Semua sektor di bawah industri agrikomoditi seperti sawit, getah, kayu dan perabot, koko, lada, kenaf serta biodiesel dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja sebanyak 60 peratus, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sehubungan itu, beliau meminta pemain industri agrikomoditi membabitkan ladang, kilang dan premis operasi termasuk pekebun kecil agar mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kementerian berkenaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa sebarang kompromi.

“Semua pemain industri dan majikan perlu memastikan pekerja sentiasa mengikut SOP baharu yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil perhatian serius terhadap peningkatan mendadak kes baharu jangkitan COVID-19 pada masa ini.

Justeru, Mohd Khairuddin berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang lebih ketat bermula 25 Mei adalah langkah paling wajar dalam usaha memutuskan rantaian pandemik dan melandaikan keluk pandemik yang semakin membimbangkan.

Beliau berkata pemantauan majikan terhadap pematuhan pekerja hendaklah dilaksanakan lebih kerap antaranya menggunakan aplikasi MySejahtera dan menyediakan kemudahan sanitasi tangan di tempat yang bersesuaian.

Katanya pemilik premis yang tersenarai di bawah Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) hendaklah mengambil tindakan intervensi dengan melaksanakan sanitasi premis dan meningkatkan kawalan dan pemantauan pelanggan.

Mereka juga perlu menutup premis sekiranya diarahkan pegawai kesihatan daerah selepas penilaian risiko dijalankan, katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai SOP berkenaan boleh dikemukakan kepada KPPK di talian hotline 03-8880 3498 pada Isnin hingga Jumaat (8 pagi hingga 5 petang) atau menerusi emel: hotlinempic@mpic.gov.my.

Source link