Berita

PKP beri impak bekalan darah di Sabah

149views

KOTA KINABALU, 8 Mei — Kerajaan Sabah menggesa dan menggalakkan seluruh penduduk negeri ini untuk tampil menderma darah susulan bekalan darah yang semakin susut berikutan pelaksanaan pelbagai siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata pelaksanaan siri PKP  telah memberi impak kepada bekalan darah di Sabah, dan walaupun hospital Kementerian Kesihatan di negeri ini telah mengambil pelbagai langkah memastikan bekalan darah mencukupi, namun aktiviti derma darah semakin menurun sejak gelombang ketiga jangkitan COVID-19.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata isu berkenaan semakin  meruncing pada bulan Ramadan dan dijangka berlanjutan sehingga Pesta Kaamatan bulan ini.

“Dianggarkan pada tahun ini, bekalan darah di Sabah akan merosot sebanyak 20 peratus berikutan pembatalan lebih 200 kempen derma darah melibatkan sasaran awal 6,000 pendermaan. Penyusutan itu perlu diatasi dengan kadar segera agar stok bekalan darah untuk pesakit tidak mencecah paras kritikal yang boleh menjejaskan perawatan pesakit,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Perkhidmatan perubatan tranfusi Sabah kini menyasarkan kutipan 1,800 penderma seminggu bagi menampung keperluan dan berada di paras selamat, katanya.

Mengulas perkembangan COVID-19 Sabah, Masidi berkata sebanyak 63 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 58,796 kes, dengan satu kes kematian direkodkan di Sandakan, manakala jumlah pesakit sembuh yang dibenarkan keluar hospital pula seramai 98 orang menjadikan  jumlah kumulatif 57,597 orang.

Source link