Berita

PKP penuh di Selangor patut dilaksanakan dengan cara berbeza

222views

PUTRAJAYA, 20 Mei — Jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh perlu dilaksanakan di Selangor, kaedah yang dilakukan haruslah berbeza, berbanding dengan pelaksanaannya semasa PKP 1.0, kata Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani COVID-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, situasi semasa jangkitan COVID-19 di negeri itu memerlukan pendekatan yang berbeza, iaitu ia mesti bersekali dengan tindakan-tindakan yang dapat menghentikan penularan COVID-19.

Dr Dzulkefly menegaskan bahawa, tempoh sekatan pergerakan (lockdown) selama dua minggu tidak cukup untuk benar-benar menghentikan jangkitan virus tersebut, terutamanya jangkitan yang membabitkan kluster yang mempunyai beberapa generasi.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, jika PKP penuh itu dilakukan nanti, ujian saringan secara besar-besar yang disertai dengan suntikan vaksin harus dilakukan ke atas kawasan-kawasan panas (hotspot), termasuk kawasan perindustrian dan perkilangan bagi membentuk r’ing vaccination’ bagi mencegah penularan wabak tersebut ke kawasan lain.

“Selain itu penggunaan aplikasi digital harus dioptimumkan, bagi mengesan kontak-kontak rapat selain mengurangkan tugas barisan hadapan, ekoran penyediaan ‘paperwork’ yang banyak ketika merawat pesakit,” katanya.

Beliau turut mencadangkan bagi proses vaksinasi ke atas semua penduduk di Malaysia, pemberian dos pertama patut dijalankan kepada seramai mungkin, dengan melambatkan fasa pemberian dos kedua.

“Jika kita menumpukan untuk memberi dos pertama vaksin kepada seramai mungkin, kita akan segera mencapai tahap imuniti kelompok, memandangkan dos kedua adalah berperanan sebagai ‘booster’ kepada dos pertama tadi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati rakyat di Selangor khususnya untuk segera mengadaptasi norma baharu dalam kehidupan mereka, iaitu dengan mengamalkan semua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bagi mengelakkan jangkitan selain mengambil langkah melakukan sekatan pergerakan kendiri.

— BERNAMA

Source link