Berita

PKPD Bunut Susu: Kurang 40 peratus penduduk jalani ujian saringan pertama COVID-19

60views

PASIR MAS, 8 Mei — Kurang 40 peratus daripada 1,500 penduduk di tiga perkampungan di Mukim Bunut Susu, di sini sudah menjalani ujian saringan pertama COVID-19 setelah kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hingga 22 Mei ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Zaini Hussin berkata angka itu dicatatkan setakat semalam dan pihaknya akan berusaha menyelesaikan ujian saringan tersebut secepat mungkin.

“Tempoh PKPD adalah selama dua minggu dan sekiranya dalam tempoh itu tidak mencapai 100 peratus mungkin PKPD akan dilanjutkan tetapi kalau sempat cover semuanya awal, maka kita tamatkan PKPD awal,” katanya ringkas ketika dihubungi, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan PKPD di tiga perkampungan iaitu Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas di Mukim Bunut Susu selepas menyaksikan kenaikan kes mendadak selain kadar positif jangkitan COVID-19 juga tinggi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menyeru seluruh penduduk kampung berkenaan memberikan kerjasama dan segera menjalani ujian saringan COVID-19 bagi memastikan kelancaran proses semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sesiapa yang perlu buat ujian saringan, saya nasihatkan agar keluar dan beri kerjasama sebab saya dimaklumkan bahawa ujian saringan setakat ini tidak sampai 40 peratus dan ia masih sedikit berbanding sasaran yang diletakkan KKM.

“Kalau proses ujian saringan itu siap lambat kita bimbang PKPD akan berlanjutan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan 80 pek bekalan makanan kepada penduduk daripada golongan B40 di Kampung Paya Ular yang terjejas dengan pelaksanaan PKPD.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata Pejabat Parlimen Pasir Mas menganggarkan peruntukan berjumlah RM200,000 akan dikeluarkan bagi membantu hampir seluruh penduduk terutama golongan B40 di ketiga-tiga perkampungan berkenaan yang dijangka terjejas sepanjang tempoh PKPD berkuat kuasa.

“Selepas ini, kita akan susuli dengan mengagihkan bantuan di kampung yang lain secara berperingkat. Buat masa ini, bantuan yang diberikan adalah keperluan dapur seperti beras, gula dan garam.

“Dalam pada itu, kita juga akan cuba melihat mekanisme terbaik untuk memberikan makanan yang siap dimasak untuk juadah berbuka puasa serta bantuan lain menjelang Aidilfitri ini,” katanya sambil menambah pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan tambahan daripada kerajaan pusat.

— BERNAMA

Source link