Berita

PKPD di 3 Kampung Mukim Bunut Susu, Pasir Mas

171views

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 9 Mei hingga 22 Mei.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD dilaksana di tiga perkampungan itu ekoran berlaku peningkatan kes secara mendadak dan kadar positif COVID-19 yang tinggi.

Beliau berkata sehingga kini, ketiga-tiga lokaliti merekodkan 120 kes positif iaitu 42 di Kampung Paya Ular, 26 di Kampung Tualang dan 52 di Kampung Bechah Palas.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di perkampungan itu.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan pengesanan awal kes serta mencegah penularan jangkitan ke kampung berhampiran,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.

Ismail Sabri juga berkata PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat, Selangor dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan ditamatkan mengikut jadual hari ini.

Beliau berkata PKPD di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, Sabah pula ditamatkan esok, juga mengikut jadual.

“Di Sekolah Menengah Sains Banting, sebanyak 990 ujian saringan dijalankan dengan 113 daripadanya disahkan positif COVID-19.

“KKM juga mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster terkawal manakala kes terakhir direkod pada 3 Mei iaitu empat kes… selain itu, saringan awal ke atas 166 pelajar daripada kumpulan tidak berisiko mendapati kesemuanya negatif,” katanya.

Ismail Sabri berkata di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah pula, sebanyak 866 ujian saringan dijalankan dan 431 daripadanya disahkan positif COVID19 namun berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal serta semua kes positif telah menerima rawatan.

— BERNAMA

Source link