Berita

PKPD: Hubungi pemimpin setempat sekiranya kesempitan

199views

JERTIH, 22 Mei — Penduduk di daerah Besut yang mengalami kesempitan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dinasihat tidak berdiam diri sebaliknya memaklumkan masalah mereka kepada pemimpin setempat.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ini kerana pemimpin setempat seperti wakil rakyat di kawasan itu boleh membantu memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyalurkan bantuan sewajarnya kepada penduduk terlibat.

“Selepas pelaksanaan PKPD di Mukim Pelagat bermula Khamis lepas, 15 mukim lagi turut dikenakan PKPD bermula hari ini menjadikan seluruh Besut kini berada di bawah PKPD.

“Namun rakyat masih boleh keluar untuk membeli keperluan makanan, maka saya difahamkan agihan barangan makanan (oleh JKM) tidak dilaksanakan lagi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya di Seberang Jertih hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik, yang turut menyertai tinjauan itu, pula berkata seramai 254 anggota keselamatan melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia akan bertugas sepanjang PKPD di Besut.

Sebanyak 51 kes baharu positif COVID-19 dicatatkan hari ini di Besut menjadikan bilangan kes aktif di daerah itu setakat ini 474.

Source link