info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

PKPD: Kawalan Ditingkatkan Di Zon A Taman Klebang Jaya Dan Taman Pinji Mewah

39views

IPOH, 30 Nov  — Pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula melakukan kawalan di Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam ini.

Tinjauan Bernama di Taman Klebang Jaya mendapati khemah kawalan mula didirikan di laluan utama kawasan itu pada kira-kira pukul 6.30 petang dengan bantuan anggota Persatuan Kepolisan Komuniti Klebang Restu.

Kebanyakan penduduk kawasan berkenaan jelas kelihatan gelisah, dan laluan keluar masuk kawasan itu pula sibuk dengan kenderaan sejak petang hingga malam ini, dipercayai kerana penduduk terlibat sibuk mendapatkan barangan keperluan harian sebelum PKPD dikuatkuasakan berikutan pengumuman mengenai pelaksanaannya baru diumumkan petang tadi.

Beberapa buah trak ATM mula dilihat tiba di kawasan itu pada kira-kira pukul 11 malam dipercayai bagi memasang kawat duri di kawasan terlibat dan menutup laluan keluar masuk.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) petang tadi mengumumkan PKPD di dua kawasan berkenaan bermula esok hingga 14 Dis berikutan peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan pekerja Kilang Kamaya dan Kilang Salutica.

Katanya, berdasarkan penilaian risiko yang dilaksanakan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan jangkitan COVID-19 melibatkan pekerja di kedua-dua kilang itu merebak ke kawasan tempat tinggal mereka.

Source link