info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

PM Thailand Selamat Dari Usul Tidak Percaya

39views

BANGKOK, 20 Feb — Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha dan sembilan menteri terselamat daripada usul tidak percaya di Parlimen hari ini selepas perbahasan selama empat hari di sebalik protes berlanjutan yang mendesak beliau digulingkan.

Melalui sidang dewan yang disiarkan secara langsung, undi tidak percaya terhadap perdana menteri itu ditolak oleh 272 ahli parlimen, sementara 206 menyokong.

Speaker Dewan Perwakilan Chuan Leekpai ketika membacakan keputusan itu berkata, keputusan undi menunjukkan bahawa terdapat keyakinan.

Penganalisis politik Thailand dari Mahidol University berkata, walaupun terselamat daripada undi tidak percaya, beberapa menterimendapat undi lebih sedikit daripada yang lain, yang menunjukkan akan berlaku rombakan Kabinet dalam beberapa bulan akan datang.

“Namun, kemenangan kerajaan menunjukkan bahawa kerajaan gabungan yang berkuasa akan bertahan sehingga sesi penggal ini berakhir,” katanya.

Kegagalan undi tidak percaya kedua sejak pilihan raya 2019 akan membolehkan Prayuth yang memimpin rampasan kuasa untuk meneruskan usaha pemerintahannya dalam mengurangkan kesan gelombang kedua jangkitan COVID-19 yang mengancam untuk menggagalkan pemulihan ekonomi.

Pada masa sama, kumpulan prodemokrasi cenderung memperhebatkan kempen mereka supaya Perdana Menteri berundur, seterusnya meminda perlembagaan dan melakukan pembaharuan monarki.

Dalam perbahasan selama empat hari itu, ahli parlimen menggunakan isu kerajaan yang dikatakan lembap dalam melakukan program imunisasi COVID-19 dan isu ekonomi dengan berjanji akan melakukan siasatan.

Kemenangan kerajaan itu berlaku ketika tunjuk perasaan prodemokrasi kembali selepas terhenti seketika akibat gelombang kedua wabak COVID-19. – AGENSI

Source Link