PNB umum pengagihan pendapatan 4.6 sen bagi ASB

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan 4.60 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022).

Pengagihan pendapatan itu terdiri daripada dividen sebanyak 3.35 sen dan bonus 1.25 sen.

Selain itu, ASNB mengumumkan Bonus Tambahan 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit dan jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB, kata PNB dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengerusi Kumpulan PNB Tun Arifin Zakaria berkata walaupun dalam keadaan pasaran yang sukar ASNB telah memberi agihan pendapatan yang kompetitif kepada pemegang unit ASB, termasuk Bonus Tambahan pada tahun ini.

“Jumlah pengagihan sebanyak RM8.9 bilion akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit yang memegang 186.4 bilion unit dalam ASB. Bonus Tambahan tersebut adalah untuk membantu pemegang unit kami berhadapan dengan tekanan kos sara hidup,” katanya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata tahun ini, syarikat Malaysia muncul sebagai penyumbang terbesar kepada pulangan didorong oleh pelaburan ASB dalam sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan penjagaan kesihatan.

“ASB memanfaatkan prestasi pasaran ekuiti domestik yang agak kukuh pada separuh pertama 2022 untuk meraih keuntungan, mengimbangi semula portfolio dan meningkatkan pegangan tunainya. ASB terus memberikan pulangan yang mampan dan kompetitif mengatasi penanda aras kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

“Jumlah bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.6 juta akaun, manakala unit dalam edaran meningkat sebanyak 4.6 bilion atau 2.53 peratus kepada 186.4 bilion unit. Ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai satu instrumen simpanan dan pelaburan yang penting kepada Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka,” katanya.

Ahmad Zulqarnain berkata, ASB terus memberikan pulangan mengatasi penanda arasnya, hasil daripada strategi perumpukan aset dan kepelbagaian yang telah dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami berbesar hati melihat peningkatan berterusan rakyat Malaysia yang melabur dengan kami, serta peningkatan saiz pelaburan mereka. ASB kekal sebagai komponen asas dalam perancangan kewangan pemegang unit kami,” katanya.

Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini, jumlah Aset di Bawah Pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM336.7 bilion kepada RM343.1 bilion, manakala unit dalam edaran untuk kesemua 17 dana ASNB meningkat daripada 276.2 bilion unit kepada 283.2 bilion unit dan jumlah pemegang akaun bertambah kepada 15.2 juta daripada 14.8 juta pada 2021.

Menurut PNB, pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

“Pengiraan pengagihan bonus tambahan adalah tertakluk kepada 30,000 unit pertama untuk setiap akaun. Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2023.

“Pembayaran dividen dibuat daripada pendapatan bersih ASB manakala bonus dan bonus tambahan dibayar daripada dana proprietari PNB atas budi bicara syarikat,” katanya.

PNB berkata, urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan Internet, telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 31 Disember 2022.

“Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Januari 2023, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 3 Januari 2023,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button