Berita

Polis KL, Selangor perketat SJR elak rentas negeri tanpa kebenaran

109views

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Polis Kuala Lumpur dan Selangor hari ini memperketat kawalan sekatan jalan raya (SJR) di setiap plaza tol berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya sembilan SJR di sekitar ibu negara, tidak termasuk Putrajaya.

“Putrajaya ada empat SJR maka untuk Kuala Lumpur, kami menyasarkan sekurang-kurangnya sembilan SJR dan kita akan mula melaksanakannya esok,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagi jumlah petugas yang diperlukan, beliau berkata perkara itu akan dilihat dari semasa ke semasa memandangkan pihaknya akan memperoleh bantuan daripada beberapa agensi keselamatan lain.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed pula berkata setakat ini, pihaknya melaksanakan kira-kira 50 hingga 70 SJR di sekitar Selangor bagi memastikan pengguna jalan raya tidak curi-curi merentas negeri kecuali mereka yang mempunyai kebenaran.

“Kalau mana-mana yang tiada kebenaran itu kita akan suruh mereka patah balik. Macam semalam, kebenaran telah diberikan (kepada mereka) yang ingin ambil anak dari sekolah berasrama,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Source link