info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Polis lumpuh sindiket pelaburan tidak wujud BPIP

101views

KUALA LUMPUR, 19 Okt — Polis melumpuhkan kegiatan sindiket pelaburan tidak wujud dikenali sebagai Barclays Private Investment Project (BPIP) susulan penahanan seorang wanita dipercayai ketua sindiket berkenaan pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata suspek berumur 54 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di kondominium Jalan Bukit Idaman, Selayang sekitar 10 malam.

“Polis merampas pelbagai dokumen disyaki palsu digunakan untuk meyakinkan mangsa mengenai kewujudan pelaburan dana daripada syarikat yang sah.

“Mangsa menggunakan alasan kononnya dana pelaburan itu adalah dari luar negara iaitu San Francisco Barclays Private Equity yang diwujudkan untuk membantu umat Islam yang mempunyai masalah kewangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.

Arifai berkata siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif sejak 2015 menerusi laman sosial, rakan-rakan dan juga ahli keluarga dengan menawarkan pulangan pelaburan sehingga RM1 juta bagi setiap pelaburan minimum RM100.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek memperoleh kira-kira RM2 juta wang daripada mangsa yang membuat pelaburan melaluinya dan akan menyerahkan 30 peratus daripada jumlah itu kepada suspek utama.

“Pihak kami masih mengesan suspek utama iaitu seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Lukman Hakim Abdullah, 53, yang merupakan pengasas syarikat pelaburan tersebut dan seorang lagi wanita tempatan Norlela Omar, 49, yang merupakan seorang daripada ahli aktif sindiket ini,” katanya.

Arifai berkata sehingga kini, seramai lima mangsa telah tampil membuat laporan dan meminta mangsa lain supaya hadir ke balai berdekatan atau Balai Polis Gombak untuk memberi maklumat berhubung kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya.

Source link