info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

Polis Selamatkan Lapan Pembantu Rumah Indonesia

Gambar Sekadar Hiasan
37views

MIRI, 15 Nov — Polis menyelamatkan lapan pembantu rumah warga Indonesia yang dieksploitasi oleh majikan apabila tidak dibayar gaji untuk tempoh lama.

Wanita berusia antara 29 hingga 58 tahun itu diselamatkan dalam serbuan sepasukan anggota polis di sebuah rumah di Taman Da Sing, Jalan Miri-Bintulu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata serbuan itu dilakukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada jam 9.30 malam.

Beliau berkata, sebelum itu pihaknya menerima panggilan daripada seorang mangsa yang mengadu mereka terpaksa bekerja tanpa gaji dan meminta bantuan polis untuk menyelamatkan mereka.

“Serbuan itu menemui semua mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kesan penderaan terhadap mereka.

“Mereka cuma mendakwa terpaksa bekerja tanpa dibayar gaji untuk tempoh yang lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meng Seah berkata, pihaknya sudah mendapatkan Perintah Perlindungan Interim untuk semua mangsa dan polis sedang mengesan majikan terbabit.

“Kertas siasatan berkaitan kes itu akan dirujuk ke Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, individu yang gagal mematuhi prosedur untuk mengambil pekerja asing boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Source Link