info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Polis Seludup Dadah Dalam Lokap Ditahan

121views

JOHOR BAHRU, 17 Dis — Empat anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang terbabit kes penyeludupan dadah dalam lokap di IPD berkenaan pada 3 Disember lalu, ditahan semula di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata empat anggota berusia 28 hingga 36 tahun ditahan pada 10 Disember lalu, jam 9 pagi di IPD Kota Tinggi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Semua mereka yang ditahan masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal.

“Hasil saringan air kencing mendapati dua daripada empat anggota yang ditahan disahkan positif dadah jenis methamphetamin,” katanya pada sidang media di IPK Johor di sini, hari ini.

Sebelum ini, pada 3 Disember lalu polis menahan 10 suspek yang dipercayai terbabit kes penyeludupan dadah dalam lokap. Sembilan daripada jumlah itu adalah anggota dan pegawai Polis IPD Kota Tinggi dan seorang awam.

Ayob berkata, daripada 10 orang yang ditahan, lima dibebaskan untuk menjadi saksi pendakwaan.

“Jadi ada lima suspek kita ambil tindakan,” katanya.

Dalam tangkapan 3 Disember lalu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 38.65 gram bernilai RM3,865, 42.25 gram dadah jenis heroin bernilai RM2,112.50 dan sejumlah tembakau hasil pemeriksaan lokap.

Source Link