info@rakyat.my
Saturday, June 19, 2021
Berita

Polis tahan 26 individu termasuk seorang wanita leka berjudi

83views

BUKIT MERTAJAM, 31 Okt — Polis menahan 26 individu termasuk seorang wanita yang sedang leka berjudi dalam serbuan Ops Dadu di sebuah rumah di Jalan Pow Nee, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata serbuan pada kira-kira pukul 2.00 dibuat berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan, dan semua yang ditahan berumur antara 30 dan 67 tahun.

“Semasa serbuan, kesemua mereka termasuk empat warga emas sedang leka bermain judi daun pakau dan ada yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun tidak berjaya kerana polis telah mengepung kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya siasatan mendapati ada di antara mereka datang dari Lunas dan Sungai Petani, Kedah untuk bermain judi di situ dan polis masih menyiasat sejak bila rumah itu dijadikan sebagai lokasi perjudian.

Beliau berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan turut dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard ditetapkan.

— BERNAMA

Source link