BeritaBerita Semasa

Polis Tahan Lelaki Timbulkan Kekecohan

KUALA LUMPUR, 28 Sept — Polis menahan empat lelaki dalam kekecohan di depan sebuah tokong di Bandar Salak Selatan, Jalan Sungai Besi di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, sekumpulan kira-kira 30 individu dikatakan membantah tindakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur mahu mewujudkan laluan ke kawasan pembinaan sebuah sekolah berhampiran tokong terbabit.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata satu operasi dijalankan PTG Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang, bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah dan bukan meroboh binaan.

Katanya, dalam operasi itu, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.

“Semasa operasi dijalankan, terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi membantah tindakan itu.

“Kumpulan ini bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak, selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, pihaknya menahan empat individu berusia antara 19 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Satu rakaman video berkaitan isu ini juga dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Muhammad Idzam berkata, tiada sebarang tindakan untuk merobohkan apa-apa binaan tokong dalam kejadian itu.

Katanya, kumpulan itu tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan untuk membina jalan dengan mengambil semula tanah kerajaan yang berada dalam lingkungan kawasan tokong berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohamad Sukri Ishak di talian 013-2165881 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button