Uncategorized

Polis Tingkat Pemantauan Terhadap Penunggang Basikal Di Jalan Raya

KUANTAN, 20 Sept — Polis akan meningkatkan pemantauan terhadap pengguna jalan raya terutamanya penunggang basikal dalam memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang lalu lintas, sekali gus mengelakkan kemalangan yang membahayakan nyawa masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Muhammed Rizal Kamarudin berkata pihaknya mendapati semakin ramai individu yang berbasikal di jalan raya bagi aktiviti riadah, selari dengan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Meskipun beriadah, kita minta semua pihak patuhi peraturan jalan raya untuk elak sebarang perkara tidak diingini berlaku, sekali gus membahayakan nyawa,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Trafik Kuantan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan seorang penunggang basikal mengekori rapat sebuah treler yang dipercayai berlaku di Jalan Kuantan-Gambang di sini pada 17 Sept lalu, yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.

Tambah beliau, polis sedang mencari maklumat lanjut berhubung video berkenaan dan akan memanggil individu tersebut untuk membantu siasatan.

Katanya, mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang boleh didakwa mengikut Seksyen 54/42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020), iaitu menunggang basikal secara melulu dan merbahaya selain boleh dikompaun di bawah Kaedah 42 LN166/59.

BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button