Polisi relevan bantu rakyat hadapi inflasi adalah ‘fardhu kifayah’ buat BN

Cadangan membina lebih banyak hospital, projek rel awam ala MRT dan mewujudkan peluang kerjaya dengan gaji setimpal

BATU KAWAN, 9 Jan. – Barisan Nasional yang kini telah menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 Malaysia Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengetengahkan polisi ekonomi relevan jika mahu kembali mendapat sokongan rakyat terutama masyarakat India.

M. Mahendran

Mengulas lanjut, Ketua Bahagian Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) Batu Kawan, M. Mahendran berkata demikian selepas majlis perasmian pembukaan Mesyuarat Tahunan Ke-30 di yang disempurnakan oleh Ketua Bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Mohd. Noor Ahmad.

“Harga barang dan perkhidmatan tidak pernah turun, sebaliknya akan terus naik pada suatu tahap dan stabil pada tahap itu.

“Jadi, di sini lah perlunya Kerajaan Persekutuan hari ini melakukan polisi ekonomi selain berusaha merosotkan inflasi, seperti mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat termasuk masyarakat India dengan gaji yang setimpal.

“Ini kerana, gaji rakyat Malaysia rata-rata adalah lebih rendah berbanding tingkat produktiviti negara yang terus meningkat.

“Dengan Kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dengan gaji mampu hidup wajar, polisi pekerjaan sebegini sekali gus akan meningkatkan lagi pendapatan sektor isi rumah rakyat serta suatu bentuk polisi bagi membantu rakyat menghadapi inflasi dan kenaikan kos sara hidup mereka,” jelasnya kepada pemberita di sini semalam (8 Januari 2021) kepada Rakyat.my.

Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada bulan April 2019 antara lain pernah mendedahkan bahawa seorang siswazah lepasan diploma berpendapatan RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010, sementara pemegang ijazah sarjana RM2,923 berbanding RM2,707 pada 2010.

Berdasarkan laporan itu, Mahendran turut bersetuju dengan pendapat Mohd. Noor bahawa inflasi dan keadaan kos sara hidup rakyat yang melambung naik kini tidak boleh ditangani dalam masa terdekat, serta menuntut Kerajaan Persekutuan melakukan beberapa polisi relevan yang lain bagi membela nasib rakyat teramai.

MOHD Noor Ahmad

Sebelum pada itu, Mohd Noor semasa menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Ke-30 (IPF) berkata rata-rata orang di negeri ini memperkatakan isu kenaikan kos sara hidup rakyat yang begitu ketara.

“Sekarang, rata-rata orang termasuk akar umbi Umno peringkat Bahagian Batu Kawan bukan sahaja memperkatakan isu kenaikan harga ayam, telur ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran.

“Apabila musim persekolahan kembali dibuka pada awal tahun 2023, ada juga ibu bapa yang merungut soal tambang bas sekolah dan yuran pusat jagaan kanak-kanak juga naik.

“Kerajaan Persekutuan hari ini perlu melakukan polisi-polisi relevan yang lain di samping langkah-langkah merosotkan inflasi yang telah sedia diusahakan, seperti mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sosial, mewujudkan lebih banyak rel awam – seperti MRT1 – serta membina lebih banyak hospital dan klinik kerajaan.

“Dengan mewujudkan projek infrastruktur awam ini bukan sahaja akan menambahkan peluang kerjaya berkualiti dengan gaji mampu hidup wajar, bahkan sekali gus dalam membantu semua sektor ekonomi rakyat berdepan keadaan inflasi,” jelasnya yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang.

Tegasnya lagi, Umno sebagai sebuah parti konservatif Melayu mempunyai fardhu kifayah untuk turut membela nasib rakyat teramai yang sedang menghadapi isu kos sara hidup melambung naik.

“Kita menerima keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas yang tidak semua memberi sokongan kepada Barisan Nasional termasuk UMNO dan IPF sendiri.

“Tetapi, BN sebagai sebahagian parti pemerintah yang membentuk Kerajaan Perpaduan ada fardhu kifayah untuk mewujudkan polisi ekonomi yang relevan untuk membela nasib rakyat,” jelasnya lagi.

~ Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button