Berita

Port Dickson Menerima Pertambahan Lebih 70 Peratus Pelancong

67views

PORT DICKSON, 5 Apr — Kedatangan pelancong ke daerah ini menunjukkan peningkatan lebih 70 peratus sejak Negeri Sembilan, kecuali Seremban berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata peningkatan kedatangan pelancong dalam negeri itu mampu membantu memulihkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat penularan COVID-19.

“Berdasarkan maklumat saya terima memaklumkan pelancong dari dalam negeri sudah mula membanjiri Port Dickson terutama pada hujung minggu sebaik PKPP dikuatkuasakan.

“Hotel dan pusat penginapan mula menerima tempahan pelancong tempatan. Jika rentas negeri dibuka kepada semua kelak, kedatangan pengunjung ke Port Dickson pasti terus memuncak seperti sebelum ini,” katanya selepas Merasmikan Majlis Pelancaran Festival Makanan Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan 2021 sempena Ramadan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MAH Negeri Sembilan, Haziz Hassan.

Aminuddin berkata, usaha memulihkan industri ini memerlukan komitmen semua pihak bagi meningkatkan keyakinan dan memajukan sektor pelancongan domestik.

Beliau berkata, industri pelancongan sangat penting kerana ia antara penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti dicapai sebelum COVID-19.

Katanya, kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) oleh Kerajaan Pusat dalam usaha merancakkan kembali ekonomi negara tahun ini.

“Usaha bagi memacu pemulihan ekonomi menerusi Inisiatif Kelapan iaitu Merangsang Semula Sektor Pelancongan dan Peruncitan, khasnya kelangsungan industri pelancongan diharap dapat menjadi suntikan semangat kepada semua yang terbabit dalam rantaian sektor pelancongan.

“Malah, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan dilanjutkan ke atas penginapan yang disediakan pengendali hotel hingga 31 Disember tahun ini serta melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan hingga tahun taksiran 2022, juga suatu langkah tepat dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Justeru, Aminuddin berkata, pihaknya berbesar hati di atas segala usaha dilakukan secara bersama itu yang diharap dapat mengembalikan daya saing industri pelancongan negeri ini dan negara.

“Saya yakin pakej PEMERKASA yang diumum kerajaan akan memberi suntikan semangat baharu kepada pemain industri pelancongan, seni dan budaya di negara ini,” katanya.

Source Link