BeritaKesihatan

Potong Usus Mampu Sembuh Diabetes

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Masa depan pesakit diabetes lebih cerah dengan kewujudan ubat-ubatan baharu serta kaedah rawatan terkini yang bukan sekadar membantu mengelak komplikasi, malah berupaya menyembuhkan.

Justeru, pesakit diabetes atau kencing manis perlu mengelak daripada terperangkap dalam momokan stigma masyarakat kononnya penyakit itu tiada penyembuh.

Pakar Perunding Perubatan dan Ekdokrinologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Dr Noor Rafhati Adyani Abdullah, berkata sebagai contoh dua kaedah rawatan boleh membantu pemulihan diabetes iaitu dengan mengurangkan berat badan sama ada secara pengurangan kalori atau melalui pembedahan pengecilan usus.

“Di United Kingdom, kajian dilakukan di klinik kesihatan mendapati 46 peratus daripada pesakit yang mengamalkan kalori daripada makanan berasaskan susu, berjaya sembuh daripada diabetes.

“Begitu juga dengan pembedahan (pengecilan usus), di mana sebilangan besar peratusan pesakit yang mengurangkan berat badan hilang diabetesnya.

“Justeru, ia (dua kaedah rawatan ini) boleh dijadikan motivasi oleh pesakit. Jadi tidak bolehlah salahkan faktor genetik semata-mata kerana dengan amalan hidup sihat dan rawatan, diabetes boleh kembali pulih,” katanya ketika menjadi ahli panel Program Bicara BH bertajuk Diabetes dan Anda, Kenali Punca, Elak Risiko.

Program secara maya itu disiarkan secara langsung melalui Facebook Berita Harian Online dengan dikendalikan Fazilah Hani Harun sebagai moderator.

Dua lagi ahli panel adalah Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan, Hospital Lam Wah Ee Pulau Pinang, Dr Vijaya B Ramasamy dan Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Patrick Tiau Wei Jyung.

Dalam pada itu, Dr Noor Rafhati berkata, ibu mengandung yang menghidap diabetes boleh mewariskan penyakit itu kepada anak yang dilahirkan dengan kadar risiko tinggi sehingga 50 peratus dan risiko akan meningkat jika ibu dan bapa adalah penghidap.

Beliau berkata, wanita mengandung yang mempunyai masalah diabetes sama ada mendapat penyakit itu sebelum berbadan dua lagi, boleh memberikan kesan kepada bayi dalam rahim.

Katanya, ia boleh berlaku apabila kadar gula tinggi ibu disalurkan kepada bayi dalam kandungan disebabkan berkongsi saluran pendarahan.

“Kajian menunjukkan jika ibu atau bapa mempunyai diabetes jenis 2 (biasanya didiagnosis pada usia 30 tahun ke atas dan dikaitkan dengan berat badan berlebihan) menyebabkan 50 peratus risiko anak turut mempunyai penyakit sama.

“Namun, jika kedua-dua ibu bapa mempunyai diabetes jenis 2, risiko anak mendapatkannya adalah setinggi 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata, lebih 50 peratus pesakit didiagnosis dengan diabetes tidak menunjukkan simptom ketara, sekali gus menyebabkan mereka perlu melakukan saringan secara berkala.

Justeru, katanya, golongan yang berisiko mendapat diabetes seperti faktor genetik, gaya hidup dan obesiti perlu peka untuk melakukan saringan.

“Antara tanda yang perlu diambil kira ialah pernah mengalami diabetes ketika mengandung, mempunyai masalah berat badan dengan Indeks Jisim Badan (BMI) lebih 23.

“Tanda lain seperti mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 80 sentimeter (cm) bagi wanita dan 90cm bagi lelaki, mempunyai masalah jantung, darah tinggi dan kolestrol perlu melakukan saringan,” katanya.

Sementara itu, Dr Vijaya memaklumkan, kemajuan teknologi perubatan khususnya dengan kemunculan ubat-ubatan baharu hasil penyelidikan berterusan dijalankan, memberi peluang lebih cerah kepada pesakit diabetes untuk mengawal komplikasi disebabkan penyakit itu.

Sebagai contoh, katanya kemunculan ubat-ubatan dalam kelas inhibitor atau perencat SGLT2 (Sodium-Glucose Co-Transporter 2) mampu mengawal diabetes daripada mengundang komplikasi lain, sekali gus membantu menyelamatkan nyawa pesakit diabetes.

SGLT2 yang juga dipanggil gliflozin mengubah fisiologi nefron penting, tidak seperti perencat SGLT1 yang memodulasi saluran natrium atau glukosa dalam mukosa usus. Ia membantu menghalang penyerapan semula glukosa pada buah pinggang menyebabkan kadar gula darah lebih rendah.

Beliau berkata, kajian mengenai ubat kelas terbabit dilaksanakan sejak 2015 boleh membantu memperlahankan kesan komplikasi lain akibat diabetes.

Katanya, ia termasuk memperlahan atau mengurangkan kemerosotan serta kegagalan buah pinggang, kegagalan jantung dan lebih penting menyebabkan kematian.

“Dalam lima atau enam tahun kebelakangan ini, dunia dikejutkan dengan ubat-ubatan hasil kajian demi kajian yang dilakukan sejak 2015. Potensi ubat-ubatan itu yang boleh mengurangkan atau memperlahankan komplikasi tidak pernah didapati dalam ubat sedia ada.

“Justeru, masa depan pesakit diabetes dijangka tidak segelap dahulu sekiranya ubat-ubatan itu boleh dikembangkan dengan awal,” katanya.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta yang berusia 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes.

Malah, prevalen diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada 2015.

Dr Vijaya berkata, pengambilan ubat-ubatan ini bagaimanapun hanya dibuat atas nasihat pakar kerana kosnya agak tinggi, selain kekurangan pengalaman daripada doktor berikutan ia masih baharu.

Dalam pada itu, Dr Patrick menyifatkan kewujudan ubat-ubatan terbabit boleh meringankan tanda kelemahan jantung, sekali gus menurunkan risiko kemasukan ke hospital akibat kelemahan dan kegagalan jantung.

“Diabetes boleh merosakkan saraf dan saluran darah termasuk pada jantung dengan simptom sakit dada, susah bernafas yang tidak dirasai oleh pesakit.

“Keadaan ini selalunya menyebabkan mereka mungkin terlepas peluang untuk mendapat rawatan awal sebelum menjadi lebih serius, selain mengalami kelemahan jantung,” katanya.

Produk alternatif berisiko rosakkan buah pinggang, hati

Kewujudan pelbagai produk alternatif dengan dakwaan mampu menyembuhkan diabetes masih tidak disokong sepenuhnya oleh bukti saintifik.

Sehubungan itu, Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Patrick Tiau Wei Jyung, berkata adalah penting bagi pesakit merujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil produk alternatif.

Beliau berkata, pengambilan produk alternatif itu dikhuatiri berisiko menyebabkan kelemahan dan kegagalan buah pinggang serta fungsi hati.

“Pandangan saya produk seperti itu kekurangan bukti saintifik dan kita tidak tahu kesannya kepada badan kita.

“Apa yang lebih penting ialah kesan produk itu kepada ubat-ubatan yang diberikan doktor,” katanya ketika program Bicara BH bertajuk ‘Diabetes dan Anda, Kenali Punca, Elak Risiko’.

Pada masa sama, Dr Patrick berkata, ada keadaan lebih buruk di mana terdapat pesakit yang menghentikan terus pengambilan ubat-ubatan di hospital selepas bergantung kepada produk alternatif.

Katanya, tindakan itu amat berisiko kepada pesakit diabetes kerana ia boleh menyebabkan terjadi komplikasi lain.

Turut berkongsi pandangan, Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan, Hospital Lam Wah Ee Pulau Pinang, Dr Vijaya B Ramasamy, bahawa kewujudan produk alternatif dikhuatiri berisiko mengeksploitasi pesakit diabetes yang terdesak untuk pulih segera.

Beliau berkata, sebanyak 57 peratus daripada pesakit diabetes akan mendapat penyakit buah pinggang menyebabkan mereka perlu berhati-hati dalam sebarang pengambilan produk alternatif.

“Sebahagian besar produk ini tiada kajian saintifik, malah ada tidak diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) dan lebih menakutkan, ia boleh diperoleh sesiapa saja tanpa ada pemantauan.

“Ia kadangkala lebih memburukkan lagi keadaan bukan sahaja kepada buah pinggang, malah kepada hati juga,” katanya.

Beliau berkata, pesakit diabetes perlu mengelakkan diri daripada dieksploitasi mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan dengan mendapatkan pandangan doktor.

“Kadangkala apabila kita putuskan pesakit itu perlu didialisis, mereka rasa terdesak dan akan buat apa sahaja, sekali gus senang dieksploitasi oleh orang sekeliling.

“Ada yang diperkenalkan dengan produk alternatif dengan harga tinggi sehingga cecah ribuan ringgit, di mana situasi ini tidak betul kerana mengambil keuntungan dalam kesakitan orang lain,” katanya.

Source Link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button