info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

PPV Pandu Lalu UiTM Puncak Alam Beroperasi Dua Minggu Lagi

114views

PUNCAK ALAM, 7 Jun – Perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, akan mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata UiTM merupakan antara tiga universiti awam yang akan menyediakan perkhidmatan itu untuk golongan yang memerlukan terutama warga emas dan Orang Kurang Upaya. Dua lagi universiti ialah Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya perkhidmatan pandu lalu itu merupakan pelaksanaan pemberian vaksin secara hibrid yang bakal dilaksakan di PPV terpilih selain pemberian vaksin secara prosedur biasa iaitu dengan mendapatkan vaksin di dalam dewan atau tempat yang disediakan.

Sementara itu, Noraini berkata PPV berskala mega di UiTM Puncak Alam yang beroperasi bermula hari ini seawal 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, mempunyai kapasiti dewan sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa.

“Perkhidmatan ini dijangka mampu menyediakan 5,000 pemberian vaksin sehari dengan penglibatan 200 kakitangan,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV Berskala Mega di UiTM Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata selain cadangan untuk membuka 19 PPV di Institut Pengajian Tinggi bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kementerian juga bercadang membuka PPV di politeknik dan kolej komuniti terpilih yang bersesuaian.- BERNAMA

Source link